ARTIKEL

Abang Johari ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2025 di Hotel Riverside Majestic, di sini, malam tadi.

Premier Sarawak tekankan pembangunan modal insan untuk daya saing global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak perlu terus memperkukuh modal insan untuk melengkapi kekuatan modal semula jadi (natural capital) sebagai usaha menjadi pemain utama dalam ekonomi dunia yang semakin kompetitif.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini mempunyai modal semula jadi seperti sumber tenaga dan biodiversiti sekali gus memberi kelebihan daya saing kepada Sarawak.

Abang Johari (tiga kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. FOTO UKAS

Namun, katanya, tanpa modal insan yang setanding, usaha tersebut mungkin sukar direalisasikan.

“London School of Economics and Political Science (LSE) memberitahu kita bahawa Sarawak sangat bertuah kerana memiliki modal semula jadi yang tidak terdapat di tempat lain di dunia. Ia menjadikan kita lebih berdaya saing.

“Tetapi, fokus Sarawak kini adalah memperkukuh modal insan. Apabila modal insan kita seiring dengan modal semula jadi, dunia ini akan menjadi milik kita. Jadi, saya mengharapkan kerjasama dan kita perlu berganding bahu menjadikan Sarawak makmur serta menjadi pemain utama dalam ekonomi dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2025 di Hotel Riverside Majestic, di sini, malam tadi.

Tambahnya, pembangunan modal insan atau bakat manusia amat penting dalam membantu usahawan dan perniagaan menempuh ekonomi global yang semakin kompleks ekoran perubahan teknologi yang pesat.

“Dengan keadaan ekonomi dunia masa kini, inovasi adalah kaedah paling penting. Tetapi inovasi juga memerlukan analisis. Apakah keadaan semasa dan bagaimana rupa landskap ekonomi pada masa hadapan?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemimpin perniagaan tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan semula jadi Sarawak tetapi mesti mengetahui cara memanfaatkannya dengan teknologi.

“Kekuatan itu mesti diambil kira, dan kita perlu menambah nilainya dalam pelbagai cara termasuk penggunaan teknologi. Teknologi juga mesti bergerak seiring dengan keperluan masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari memaklumkan beliau telah meminta agar Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani menjemput James Barrat, penulis buku Our Final Invention: Artificial Intelligence and the End of the Human Era, ke Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 pada 22 hingga 23 Oktober depan.

“Ini kerana dalam buku tulisan James Barrat, beliau menyatakan bahawa ekonomi global akan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), dan AI akan menjadi alat untuk semua aktiviti ekonomi.

“Perkara tersebut penting kerana kita perlu sedar bahawa AI juga mempunyai risiko seperti deepfake dan penyalahgunaan. Oleh itu, kita memerlukan pemahaman yang kritikal.

“Landskap ekonomi masa hadapan juga akan sangat rumit sehingga kita memerlukan rasionaliti dan analisis yang baik untuk mengarahkan perniagaan kita ke hadapan,” katanya lagi, sekali gus menyeru ahli DUBS menghadiri persidangan tersebut.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan penyampaian AUBS kepada 16 penerima dalam pelbagai kategori.

BERITA LAIN

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih

BERITA TERBARU

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih