KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas spekulasi mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, fokus Kerajaan Sarawak ketika ini adalah memastikan rakyat turut menikmati hasil pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan, bukannya memikirkan soal Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya tidak memikirkan soal pilihan raya. Saya fikir bagaimana hendak memberi duit yang banyak kepada rakyat dan rakyat dapat bersama-sama dalam pembangunan kita yang rancak… jadi saya tidak berfikir tentang pilihan raya dahulu.
“Tunggulah bulan Februari (tempoh penggal DUN Sarawak berakhir),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengumuman Dividen ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan kononnya terdapat tekanan daripada Barisan Nasional (BN) supaya DUN dibubarkan, Abang Johari berkata perkara itu tidak timbul kerana Kerajaan Sarawak mempunyai pertimbangannya sendiri.
“Itu kata mereka. Kita (Sarawak) sendiri,” jelasnya.
Untuk rekod, PRN Sarawak ke-12 yang terakhir berlangsung pada 18 Disember 2021 dan Sarawak kini mempunyai 82 kerusi DUN.




