KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan kesediaannya menerima pencalonan tunggal sebagai Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi penggal 2025 hingga 2028.
Dalam kenyataan media, Abang Johari melahirkan rasa rendah hati dan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh seluruh ahli PERKIM terhadap pencalonan beliau.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli PERKIM ke atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan untuk saya menerajui PERKIM,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyandang jawatan tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad, atas jasa dan sumbangan besar beliau memimpin PERKIM sejak 2006.
“Saya akan berusaha sedaya mungkin meneruskan legasi kepimpinan beliau dan mencapai hasrat tokoh-tokoh pengasas PERKIM, terutamanya Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam menjaga kebajikan umat Islam,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut menghargai langkah dua calon lain, iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Ustaz Mohd Nakhaei Ahmad yang menarik diri daripada pencalonan dan memberikan sokongan penuh kepada beliau.
Lantikan rasmi dijangka dimuktamadkan dalam mesyuarat agung PERKIM akan datang.



