LIMBANG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa satu bentuk bantuan akan diumumkan pada minggu hadapan susulan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, bantuan ini akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet dan diyakini mampu diberikan kepada rakyat dengan kekuatan dana serta ekonomi mantap yang dimiliki sekarang.
“Butiran lanjut akan diberitahu kemudian. Bantuan ini dijangka dapat dilaksanakan walaupun memerlukan kewangan besar kerana kita mempunyai dana yang kukuh untuk tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa Sarawak bertuah kerana sudah meneroka tenaga hidro sebagai tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya lagi, negeri lain ada masalah tenaga, namun Sarawak sudah mempunyai tenaga yang boleh diperbaharui iaitu hidrogen.
“Sekarang, diesel menjadi topik bualan masyarakat dan baru-baru ini, kita membuat satu kajian berkaitan harga diesel sekarang. Kita mendapati bahawa harga pengeluaran hidrogen lebih murah daripada diesel sekarang.
“Dahulu, harga hidrogen lebih tinggi namun, ia sudah bertukar disebabkan perang yang berlaku di Timur Tengah.
“Maknanya, kita telah memilih tenaga yang betul untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi kita,” katanya.
Sementara, beliau juga menyatakan hasrat untuk berkongsi butiran mengenai alternatif penjanaan ekonomi Sarawak pada hari esok (Sabtu).
“Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang boleh menjadi contoh kepada yang lain. Jadi, jangan pecahkan politik kita dan terus kekalkan perpaduan ini.
“Apabila Kerajaan Sarawak teguh dan kuat, Malaysia juga akan menjadi kukuh. Kekuatan ini juga akan memberi manfaat kepada kebaikan negara,” katanya.

