Premis cuci pakaian ditutup serta-merta

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengarahkan penutupan sementara premis perniagaan kurang penting dalam kawasan tadbiran mereka.

Menurut notis MPP semalam, penutupan itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta dan Pengawasan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis dan Arahan Dasar Kerajaan Negeri Sarawak untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Ekoran itu jelasnya, satu arahan terbaru dan terpakai dikeluarkan dengan premis mencuci pakaian (laundry) turut diarahkan untuk tutup serta-merta.

“MPP juga memberikan amaran bahawa mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan sedia ada,” kata notis tersebut.

Dalam hal berkaitan, MPP juga mengeluarkan satu notis mengenai pasar awam dan pusat penjaja yang dibenar dan tidak dibenarkan.

Untuk itu, Pasar Batu 3, Pasar Kata Sentosa, Pasar Kora Padawan, Medan Makan di Pasar Batu 3, Tingkat 1 dan Pusat Penjaja Berbumbung Tetap Taman Desa Wira yang menjual keperluan harian dibenarkan beroperasi kecuali penjualan haiwan hidup.

“Prinsip dan amalan kesihatan serta kebersihan, mengekalkan penjarakan sosial antara satu sama lain perlu diamalkan,” jelasnya.

Manakala, pasar malam, pusat penjaja sementara atau pasar tamu seperti Pusat Penjaja Sementara “Prince Commercial Centre Batu 7“, Pusat Penjaja Sementara Kota Sentosa, Pusat Penjaja Sementara Matang Jaya di hadapan Kedai Sunshine dan di belakang Pasar Tani Fama Matang Jaya, Pusat Penjaja Sementara Lee Ling, Jalan Matang, Pusat Penjaja Sementara Taman Malihah, MIC Batu Kawah New Township Night Street Market dan Kuching City Mall Night Street Market diarahkan tutup buat sementara waktu.

Suara Sarawak