Kejayaan kontinjen Malaysia mengumpul 56 pingat emas, 57 perak dan 116 gangsa — keseluruhan 229 pingat dalam kempen Sukan SEA 2025 membuktikan Malaysia berjaya memecahkan halangan psikologi beraksi di venue asing.
Ketua Kontinjen (Chef de Mission), Nurul Huda Abdullah menyifatkan kejayaan luar biasa itu sebagai penanda aras baharu sukan negara, sekali gus menutup kempen dengan penuh bergaya apabila melakar pencapaian terbaik dalam sejarah temasya itu di luar negara.
“Ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan SEA yang berlangsung di luar negara.
“Atlet kita bukan sahaja bersedia dari segi fizikal dan teknikal, malah memiliki mentaliti juara untuk menyesuaikan diri dengan cabaran persekitaran,” katanya pada sidang media Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia di sebuah hotel di sini, Sabtu.
Ujarnya, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan hasil kerja berpasukan yang padu serta kerjasama berterusan antara jurulatih, pegawai, persatuan sukan dan atlet.
“Kejayaan itu dicapai melalui konsistensi prestasi di Bangkok dan Chonburi, dua lokasi utama pertandingan.
“Apa yang jelas, atlet kita bertanding dengan tekad dan keupayaan untuk beraksi di tahap tertinggi tanpa mengira lokasi atau keadaan. Inilah kejayaan kolektif yang wajar diraikan,” ujarnya.
Beliau berkata maklum balas daripada atlet dan pegawai pasukan secara konsisten menunjukkan tahap persiapan yang lebih baik menjelang temasya.
“Antara faktor utama kejayaan ini ialah pendedahan kepada pertandingan yang lebih kompetitif, semangat berpasukan yang kukuh serta persekitaran yang positif, yang secara langsung menyumbang kepada keputusan memberangsangkan.
“Mereka bersedia dengan lebih banyak pertandingan, semangat berpasukan berada pada tahap tinggi, dan kami tahu tenaga serta aura positif dalam kalangan atlet dan pegawai memang ada,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas sokongan berterusan sepanjang persiapan dan kejohanan, serta semua pihak yang terlibat dalam ekosistem sukan negara.
“Kejayaan ini bukan hanya milik kontinjen di sini, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia yang setia memberi sokongan.
“Inilah bukti bahawa apabila kita bersatu, hasilnya luar biasa,” katanya.
KAPSYEN: Nurul Huda Abdullah bercakap ketika sidang media. (TVS – Awang Azmil)






