KUCHING: Prestasi pelabuhan utama di Sarawak sepanjang 2024 menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Ia sekali gus menandakan kemajuan pesat dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh ekosistem logistik serta mempercepat transformasi digital infrastruktur.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Pelabuhan Samalaju mencatatkan prestasi terbaik apabila jumlah kargo yang dikendalikan melonjak sebanyak 22.5 peratus kepada 6.85 juta tan, manakala defisit kewangan berjaya dikurangkan secara drastik sebanyak 83.57 peratus kepada hanya RM470,000.
“Prestasi positif turut direkodkan di Pelabuhan Kuching yang menyaksikan peningkatan 7.7 peratus kepada 9.99 juta tan, Rajang turut meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 1.48 juta tan, Miri naik 4 peratus kepada 3.28 juta tan dan Tanjung Manis juga meningkat 6.3 peratus kepada 1.63 juta tan.
“Dari segi keuntungan, Pelabuhan Kuching meraih RM16.16 juta meningkat kepada 38 peratus), Rajang RM6.21 juta meningkat 3.5 peratus dan Miri RM4.88 juta meningkat kepada 9.6 peratus. Sementara itu, Tanjung Manis berjaya mengurangkan defisit sebanyak 24.74 peratus kepada RM5.14 juta,” katanya
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan di Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, semalam.
Beliau yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan memaklumkan bahawa, data ini menunjukkan perkembangan positif prestasi pelabuhan utama di Sarawak yang terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin ekonomi.
Uggah dalam pada itu turut menyokong penggunaan penyelesaian digital bagi meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh aspek keselamatan dan menyokong kelestarian jangka panjang dalam pembangunan pelabuhan dan infrastruktur.


