KEHILANGAN datuk memberi kesan besar kepada penyanyi Sarawak, PrettyNina, yang menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga tanpa kehadiran datuk di sisi mereka.
Menurut PrettyNina, tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana mereka sekeluarga menyambut hari raya tanpa kehadiran datuk kedua-dua belah pihak keluarga.
“Pastinya rasa rindu sentiasa ada di dalam hati kerana saya memang rapat dengan datuk.
Kehilangan datuk pasti membuat diri ini sangat terasa pada Syawal tahun ini.
“Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana kami sekeluarga masih diberikan rezeki untuk berkumpul dan beraya bersamasama dalam suasana meriah.
“Kehadiran anak-anak saudara menjadikan raya kali ini semakin ceria dan meriah,” kongsi PrettyNina kepada Suara Sarawak.
Walaupun kehilangan datuk tersayang, kewajipan untuk pulang ke kampung halaman setiap kali Aidilfitri tetap menjadi rutin yang tidak pernah dilupakan PrettyNina.
“Setiap kali hari raya, saya memilih untuk beraya di kampung halaman kerana kemeriahannya yang sentiasa menggamit kenangan manis.
“Seperti biasa, saya sentiasa mengekalkan sambutan yang sederhana dan selalu mensyukuri nikmat kebersamaan dalam menyambut hari raya bersamasama keluarga tercinta dan sanak saudara,” jelasnya.
Berkongsi rutin wajib dalam persiapan menyambut hari raya, PrettyNina selalunya sibuk di dapur memasak juadah wajib seperti rendang dan kari kambing kesukaannya.
“Setiap kali malam raya, saya sibuk dengan aktiviti menghias rumah, memasak dan bermain bunga api dengan anak saudara.
“Mengenai memasak, kari kambing kegemaran saya pasti ada kerana tanpa kari kambing, tidak lengkap rasanya hari raya saya.
“Saya turut menyediakan rendang, sate, dan ketupat yang sentiasa menjadi pilihan utama keluarga kami,” katanya.
Sebelum mengakhiri temu bual, PrettyNina sempat memberikan beberapa pesanan sempena Aidilfitri kepada semua peminatnya di seluruh Malaysia.
“Bagi mereka yang di perantauan, luangkan masa dan pulanglah ke kampung untuk bertemu keluarga.
Eratkan silaturahim kerana itulah kebahagiaan yang sangat indah bagi ibu bapa yang sentiasa menantikan kepulangan anak-anak mereka.
“Jangan lupa juga kepada mereka yang sudah tiada di sisi kita, kunjungilah pusara mereka pada hari raya yang penuh berkat ini.
“Bagi mereka yang belum mendengar lagu raya saya, jangan lupa dengarkan lagu trio saya bersama Meera Zada dan Firdaus Materang iaitu Syafaat Lebaran dan Cahaya Raya,” kongsinya.






