BINTULU: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak setakat jam 12 tengah hari ini agak rendah, dengan hanya mencapai 33 peratus.
Justeru, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyeru agar semua pengundi keluar mengundi agar peratusan keluar mengundi mencapai sasaran sekurang-kurannya 65 peratus.
“Kalau kita lihat cuaca amat elok tetapi saya lihat prestasi yang keluar mengundi agak kurang menyenangkan.
“Saya menyeru semua pengundi DUN Jepak dapat keluar, kita ada masa lagi sehingga jam 5.30 petang…keluarlah ramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Bintulu di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata pihaknya menjangkakan keputusan PRK DUN Jepak akan dapat diketahui kira-kira jam 9 malam nanti.
Katanya ia memandangkan lokasi paling jauh di kawasan Jepak memakan masa perjalanan kira-kira satu jam sahaja.
“Doakan supaya cuaca elok dan tidak ada gangguan dari segi kiraan dan sebagainya,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata kiraan undi akan dibuat di setiap saluran mengundi dan penjumlahan sepenuhnya akan dibuat di Dewan Suara Bintulu untuk pengumuman keputusannya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata daripada 14 Pusat Mengundi yang dibuka, tiga dijangka tutup awal kira-kira jam 4 petang manakala yang lain ditutup pada jam 5.30 petang.
Seramai 22, 731 orang pengundi berdaftar bagi PRK DUN Jepak, dengan sebanyak 14 Pusat Mengundi dan 45 Saluran dibuka untuk tujuan pengundian.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip sekali gus menyaksikan tiga calon bertanding iaitu Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Anak Sarawak (Aspirasi) dan Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

