BINTULU: Memberikan subsidi kepada semua jenis makanan asas terutamanya beras merupakan visi utama calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing sekiranya berjaya menawan DUN Jepak.
Menurut ahli perniagaan itu, ia susulan kenaikan harga produk makanan makanan dan peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat pada masa kini.
“Sekiranya saya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak dan terpilih sebagai wakil rakyat. Saya mahu memperuntukkan semua wang saya untuk rakyat kerana percaya saya mampu berbuat demikian.
“Ia bagi memberikan subsidi kepada semua jenis makanan terutamanya beras. Ini kerana ramai rakyat kita tidak mempunyai bajet dan wang untuk membeli makanan susulan negara berada dalam krisis ekonomi yang teruk,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya usaha ke arah itu sudah dimulakan sejak empat hari lalu dengan beliau telah mengagihkan hampir 1,000 kampit beras kepada rakyat kawasan Jepak terutamanya golongan B40.
“Anda boleh lihat sekarang, rakyat kita menderita dan tidak mempunyai wang untuk membeli beras. Jadi saya cuba menyumbang sedikit dengan memberikan beras kerana rakyat boleh mati kebuluran sekiranya tiada makanan.
“Justeru, sekiranya anda memerlukan bantuan, anda boleh datang kepada saya di kedai pajak gadai emas saya di sini. Usaha ini untuk menyelamatkan dan membantu rakyat kita yang tidak mempunyai duit untuk membeli makanan,” tegasnya.
Sementara ketika ditanya mengenai fokusnya bagi memperkasakan golongan muda, beliau berkata ia sukar diutamakan ketika ini kerana rakyat lebih mementingkan isu kenaikan kos sara hidup.
“Anak muda sekarang tidak mempunyai masa untuk bercakap tentang politik. Fokus utama mereka sekarang adalah bagaimana untuk meneruskan hidup dan berdaya tahan dalam keadaan ekonomi yang sangat teruk.
“Bagaimana mereka boleh bercakap tentang masa hadapan sedangkan sekarang hanya fokus memikirkan mencari duit untuk membeli makanan supaya tidak kebuluran,” ujarnya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee, 54, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang, 42 dan calon Aspirasi, Chieng Lea Phing, 62.
Ia diadakan selepas penyandang kerusi itu Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 13 September lalu.

