BINTULU: Dulu lawan kini kawan, itulah gambaran yang dapat dilihat pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak, apabila Parti Sarawak Bersatu (PSB) turut hadir bagi memberi sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee, hari ini.
Diketuai Presidennya, Datuk Sri Wong Soon Koh, ahli-ahli PSB kelihatan membanjiri pusat penamaan calon di Dewan Suarah di sini seawal jam 8 pagi, sambil mengibarkan bendera GPS tanda sokongan yang tidak berbelah bagi.
Bahkan ahlil-ahli PSB turut kelihatan berpelukan dan bersalam-salaman dengan barisan pemimpin GPS sebagai sokongan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti pemerintah Sarawak itu.
Menurut Soon Koh, kehadiran mereka pada hari penamaan calon itu adalah bagi menunjukkan keikhlasan dan komitmen pihaknya untuk membantu calon GPS beroleh kemenangan.
“Hari ini kami berada di sini bersama-sama untuk memberikan sokongan penuh kepada Iskandar Turkee.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua ahli PSB di Bintulu untuk membantu dan berkempen bagi memastikan kemenangan besar berpihak kepada GPS,” katanya.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Talib Zulpilip, 15 September lalu.
Pada PRN 2021, Talib memenangi kerusi itu selepas memperoleh 6,277 undi, menewaskan calon PSB, Raba’ah Tudin (2,034), calon Parti Bumi Kenyalang PBK, Stevenson Joseph Sumbang (587) dan calon Bebas, Tuah Kazan (141).
Terdahulu pada Julai lalu, PSB yang merupakan parti pembangkang tempatan mengumumkan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sokongan itu membawa PSB menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang merupakan sebuah parti komponen GPS untuk menjalin kerjasama.
Sementara penggabungan kedua-dua parti itu dijangka dapat dimuktamadkan pada Disember depan.

