ARTIKEL

PRK Kuala Kubu Baharu: Lima teras dalam manifesto calon PH

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH) menggariskan lima teras utama dalam manifestonya yang dilancarkan malam ini bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB). 

Lima teras yang terkandung dalam manifesto bertemakan ‘Kekal Kuala Kubu’ itu tertumpu kepada aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan rakyat.

Calon PH Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu ketika membentangkan manifesto berkata di bawah teras ekonomi, beliau mahu merancakkan aktiviti ekonomi berlandaskan  pembangunan industri di Hulu Selangor, selain memperkasa sektor pelancongan tempatan dan keusahawanan.

“Saya juga akan memperjuangkan pelaburan berteknologi tinggi yang akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya ketika melancarkan manifesto berkenaan pada program Ceramah Mega Perpaduan.

Pang, 31, berkata di bawah teras kemudahan, beliau berhasrat untuk melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pengangkutan serta kemudahan awam selain mahu meningkatkan kelajuan capaian Internet di KKB.

Menerusi teras alam sekitar dan rekreasi pula, bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata beliau mahu memastikan KKB melalui proses pembangunan mampan dan dalam masa sama tidak mengenepikan aspek pemeliharaan alam sekitar.

“Di bawah teras warisan dan budaya pula, saya juga akan melancarkan inisiatif memulihara dan mengangkat warisan serta budaya di KKB. Saya bertekad untuk memulihara dan mengekalkan KKB sebagai tapak warisan dan budaya yang unggul di Malaysia,” katanya.

Pang berkata, soal kesejahteraan rakyat juga diberikan keutamaan dalam manifestonya agar tiada yang terpinggir.

“Saya merakamkan terima kasih kepada pimpinan parti kerana memilih saya sebagai calon. Inilah manifesto saya sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.

“Manifesto ini hasil maklum balas yang saya terima daripada penduduk KKB yang saya temui selepas hampir seminggu berkempen selain hasil kajian yang dijalankan oleh saya dan pasukan kempen,” katanya.

Program berkenaan dihadiri pemimpin parti antaranya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
PRK KKB yang bermula 27 April lepas, menyaksikan Pang ditentang oleh Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) serta Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada Selasa ini (7 Mei).
– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU