ARTIKEL

PRN-PRU serentak boleh jimat kos kerajaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak wajar diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya Parlimen dibubarkan lebih awal, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, kemungkinan PRU diadakan lebih awal tidak boleh diketepikan susulan perkembangan politik semasa di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia ketika ini.

“Situasi politik di negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan selain pergolakan dalaman parti tertentu berpotensi mempengaruhi keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membubarkan Parlimen lebih awal.

“Malah, beberapa negeri juga dilihat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri masing-masing, maka ada kemungkinan PRU lebih awal boleh berlaku.

“Justeru, saya secara peribadi melihat lebih baik jika PRN Sarawak diadakan serentak bersama PRU kerana langkah tersebut mampu menjimatkan kos kerajaan serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada sidang media penganjuran Breaking News Run 2.0 Night Edition, di Kompleks DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, pelaksanaan pilihan raya secara serentak adalah lebih praktikal kerana jika diadakan secara berasingan, kos yang diperlukan boleh mencecah hampir RM1 bilion bagi setiap pilihan raya.

“Apabila harga bahan api meningkat, kos sara hidup rakyat juga meningkat dan banyak perkara lain turut menerima kesannya. Sebab itu Perdana Menteri perlu benar-benar berfikir sama ada mahu menunggu atau mengadakan lebih awal.

“Ini kerana kos penganjuran pilihan raya ketika ini amat tinggi dan penggunaan wang rakyat perlu diurus secara lebih berhemah. Sekurang-kurangnya kita dapat menjimatkan banyak wang dan SPR juga tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan terlalu besar,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata PRN Sarawak tidak dapat dielakkan memandangkan penggal DUN akan berakhir hujung tahun ini atau selewat-lewatnya Februari tahun depan.

“Sekiranya DUN tidak dibubarkan lebih awal, pembubaran automatik akan berlaku selepas tamat tempoh lima tahun seperti diperuntukkan dalam undang-undang pilihan raya.

“Jika berlaku pembubaran automatik, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan sebab itu saya katakan selewat-lewatnya Februari,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa kerana sentiasa komited bekerja dan melaksanakan tanggungjawab, bukan hanya semasa musim pilihan raya.

“Apabila rakyat melihat kerajaan yang diberi mandat tidak terlalu berpolitik dan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, insya-Allah rakyat akan terus menyokong,” jelasnya.

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil