ARTIKEL

PRN Sarawak Ke-13: SPR umum tarikh penamaan calon, pengundian selepas mesyuarat khas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 selepas mesyuarat khas yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengarah SPR Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata setakat ini, tarikh mesyuarat khas itu belum lagi ditetapkan.

“Mesyuarat khas ini dicadangkan di Kuching tapi tunggu pengumuman lanjut daripada SPR Putrajaya nanti.

“SPR akan mengeluarkan kenyataan media bila mesyuarat khas tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan secara rasmi hari ini, bagi memberi laluan kepada PRU Sarawak ke-13 meskipun mandat semasa DUN Sarawak berakhir pada Februari 2027.

Pengumuman pembubaran itu dibuat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam sidang media pada Jumaat lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tumpuan kini terarah kepada SPR untuk menetapkan tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting PRU Sarawak Ke-13.

Pada 23 Oktober lalu, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, dilaporkan berkata tarikh mesyuarat khas itu akan ditentukan sebaik pihaknya menerima pemakluman rasmi pembubaran daripada Speaker DUN Sarawak.

Sementara, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam sidang media berkenaan juga berkata SPR akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran DUN bagi membolehkan persiapan yang sewajarnya dilaksanakan.

“Tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian akan ditetapkan serta diumumkan oleh SPR,” katanya.

Justeru, katanya selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut, manakala DUN yang baharu hendaklah dipanggil bersidang pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.

Abang Johari berkata sepanjang tempoh ini, GPS akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi keperluan perlembagaan yang berkuat kuasa.

Pada pilihan raya ke-12 yang diadakan pada 18 Disember 2021, GPS mendapat mandat selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menang dua kerusi.

Bagaimanapun selepas PSB dibubarkan pada 2024, ia membawa kepada penyertaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), iaitu salah satu daripada komponen GPS.

Manakala seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.

BERITA LAIN

Sagah sedia pertahan kerusi DUN Tarat

SERIAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn bersedia mempertahankan kerusinya sekiranya mendapat restu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS)

BERITA TERBARU

Sagah sedia pertahan kerusi DUN Tarat

SERIAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn bersedia mempertahankan kerusinya sekiranya mendapat restu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS)