ASAJAYA: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan sebelum atau selepas tempoh darurat tamat pada Februari depan.
Menurutnya, ia di bawah bidang kuasa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong bagi mengadakan PRN lebih awal.
“Jika keadaan mengizinkan dan wabak Covid-19 terkawal, saya percaya Ketua Menteri kita boleh memohon untuk mendapatkan persetujuan baginda dalam mengadakan PRN lebih awal.
“Ia terserah kepada Ketua Menteri untuk mengadakan PRN lebih awal atau selepas tamat darurat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan insentif kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM Sekolah Menengah Kebangsaan Asajaya, di Dewan Pejabat Daerah Asajaya, pada Rabu. Jelasnya, beliau juga percaya bahawa apa-apa sahaja nasihat dan fakta yang akan dibawa kepada YDPA nanti, baginda akan memberikan persetujuan kepada negeri ini untuk mengadakan PRN lebih awal.
Karim yang juga Adun Asajaya mendedahkan, Sarawak akan kekal berada dalam keadaan yang baik walaupun PRN diadakan sebelum atau selepas darurat. “Bagi kami di GPS, kami sudah bersedia sama ada PRN itu diadakan dengan lebih awal atau bila-bila masa sahaja.
“Bukan bermaksud untuk mengatakan bahawa kami terlalu yakin, tetapi kami tahu apa yang telah kami lakukan. Dan kami sentiasa bersedia,” katanya lagi. Ditanya mengenai calon yang akan bertanding pada PRN akan datang, beliau berkata, calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum, sudah pasti akan ada beberapa wajah baharu.
“Umumnya, daripada pengalaman saya yang lalu, sekurang-kurangnya 10 peratus calon yang akan bertanding wajah baharu.
“Namun, ia semua di bawah bidang kuasa Ketua Menteri dan kita tidak perlu membincangkan siapa. “Memang menjadi budaya kami di PBB, untuk selalu memberi mandat kepada presiden kami dalam menentukan siapa kerana beliau lebih pakar dan lebih mengetahui,” katanya.