KUCHING: Produk manik Sarawak yang dibeli pada harga sekitar RM60 pernah disangka bernilai lebih USD1000 oleh seorang wanita di Belanda, membuktikan produk usahawan tempatan mempunyai potensi besar di pasaran antarabangsa.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengalaman itu menunjukkan kualiti produk tempatan mampu mendapat nilai lebih tinggi apabila dipasarkan dengan strategi dan pendekatan yang tepat.
“Dia terkejut dan bertanya, ‘Menteri, kalau boleh saya tanya, berapa harga ini?’
“Saya beritahu dia ini produk dari Sarawak dan minta dia teka berapa harganya. Dia kata mungkin tidak kurang daripada USD1000,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 dan Karnival Wellbest Kebajikan 2026 di Pusat Konvensyen MetroCity di sini, hari ini.
Menurutnya, manik berkenaan sebenarnya dibeli daripada pengusaha tempatan pada harga sekitar RM60 dan pengalaman itu seharusnya mendorong usahawan mikro Sarawak meneroka pasaran lebih luas.
Katanya, penggunaan teknologi digital dan perdagangan dalam talian penting bagi membantu usahawan menembusi pasaran di luar Sarawak serta antarabangsa, terutama memandangkan pasaran tempatan yang terhad dengan jumlah penduduk sekitar 2.4 juta.
“Pasaran terhad. Sebab itu penting untuk kita merangkul semua teknologi. Kita perlu menggunakan platform digital untuk menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, potensi perusahaan mikro turut dapat dilihat menerusi jumlah jualan pengusaha di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat yang hampir mencecah RM8 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Malah, hasil jualan sepanjang Karnival Wellbest Kebajikan 2026 turut melebihi RM300,000. Walaupun kita ini di peringkat mikro, tetapi dengan usaha dan keyakinan, kita boleh berjaya,” katanya.
Awang Tengah berkata, kerajaan mahu membantu perusahaan mikro berpotensi berkembang menjadi perusahaan kecil, sederhana dan seterusnya syarikat lebih besar menerusi pelbagai sokongan termasuk Skim Kredit Mikro Sarawak, Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) serta program Pendigitalan Perniagaan.
Katanya, Sarawak turut mewujudkan ENBASE bagi mendapatkan data lebih menyeluruh mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana, termasuk sektor diceburi serta keberkesanan skim bantuan dan insentif yang disediakan.
“Data itu penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti kekurangan dan kelemahan untuk diperbaiki,” ujarnya.
Awang Tengah turut menggesa usahawan mikro meneroka potensi industri halal yang mempunyai pasaran besar di peringkat global, meliputi makanan, minuman, fesyen, kraftangan dan pelbagai produk lain.
“Kita harus faham bagaimana menembusi pasaran lebih luas dengan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta memastikan ia mematuhi piawaian yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, pematuhan kepada piawaian termasuk prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta keperluan industri halal penting bagi membolehkan usahawan memasuki rantaian bekalan dan pasaran antarabangsa.
Katanya, kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut membantu usahawan memahami keperluan pasaran serta rantaian bekalan global, selain produk tempatan perlu diberi lebih banyak ruang di pasar raya, pasar raya besar dan pusat beli-belah swasta.

