ARTIKEL

Datuk Aidel Lariwoo (tengah) menyempurnakan Majlis Prapelancaran HPTN 2026 sambil disaksikan oleh hadirin. Foto kredit: JKR Sarawak

Profesion teknikal perlu diperkasa demi pembangunan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Profesion teknikal perlu terus diperkasa bagi memastikan pembangunan infrastruktur Sarawak kekal berkualiti berkualiti, selamat dan memenuhi keperluan rakyat, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo.

Beliau berkata, keperluan itu selari dengan tema Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026, ‘Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian’, yang menekankan kepentingan kepakaran teknikal, teknologi dan kelestarian dalam pembangunan negara.

Datuk Aidel Lariwoo berucap pada Majlis Prapelancaran HPTN 2026. Foto JKR Sarawak

Menurutnya, aspek kelestarian perlu diterapkan dalam setiap peringkat pembangunan termasuk pemilihan lokasi, reka bentuk, penggunaan bahan, kaedah pembinaan dan penyelenggaraan.

“Setiap keputusan tersebut mempengaruhi keselamatan pengguna, perbelanjaan awam dan keadaan alam sekitar untuk tempoh yang panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran HPTN 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, cabaran pembangunan infrastruktur di Sarawak mempunyai keunikan tersendiri berikutan keluasan wilayah, penempatan yang berselerak serta keadaan muka bumi yang berbeza.

Justeru, katanya, penyelesaian teknikal dan inovatif yang bersesuaian amat diperlukan selain pengetahuan teknikal yang kukuh, pengalaman lapangan serta pemahaman terhadap keperluan masyarakat.

Menurutnya, pembukaan Jambatan Batang Igan pada Mac lalu menjadi antara contoh manfaat pembangunan infrastruktur kepada rakyat apabila penduduk Igan, Matu dan Daro kini mempunyai hubungan jalan raya merentasi sungai yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri.

“Manfaat ini amat bermakna kepada penduduk yang berulang-alik untuk bekerja, menguruskan keluarga serta mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Aidel berkata pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya manfaatnya turut dirasai penduduk di kawasan luar bandar.

Katanya, infrastruktur perlu berperanan menghubungkan rakyat dengan peluang pekerjaan, perdagangan dan kehidupan yang lebih baik.

Beliau turut menekankan kepentingan budaya menyelesaikan masalah dalam pelaksanaan projek dengan setiap isu mempunyai pegawai bertanggungjawab, tindakan susulan yang jelas serta tempoh penyelesaian yang munasabah.

“Kerjasama antara jabatan, perunding dan kontraktor akan menentukan keberkesanan tindakan kita di lapangan,” katanya.

Aidel berkata integriti juga perlu menjadi asas dalam setiap pertimbangan profesional, termasuk memastikan nasihat teknikal berasaskan bukti, pemeriksaan dilaksanakan dengan teliti dan pengesahan kerja dibuat secara bertanggungjawab.

Pada masa sama, katanya, aspek keselamatan pekerja dan pengguna perlu diberi perhatian sepanjang pelaksanaan projek selain mengambil kira kos serta prestasi aset sepanjang tempoh penggunaannya.

Beliau berkata perancangan infrastruktur juga perlu mengambil kira risiko banjir, hakisan dan perubahan keadaan cuaca bagi memastikan reka bentuk serta penggunaan bahan dan tenaga lebih bersesuaian.

Mengulas penggunaan teknologi, Aidel berkata kemajuan seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), sistem maklumat geografi dan kecerdasan buatan boleh dimanfaatkan mengikut keperluan tugas.

Katanya, penggunaan teknologi perlu mempunyai tujuan jelas termasuk membantu penyelarasan reka bentuk, analisis dan pemantauan projek.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kesinambungan bakat teknikal perlu diberi perhatian dengan memperluas peluang latihan industri, bimbingan kerjaya dan pembelajaran berterusan.

“Kepada anak-anak muda, saya mengajak saudara-saudari meneroka bidang teknikal sebagai pilihan masa depan.

“STEM, TVET, kejuruteraan, teknologi, pembinaan, seni bina dan pelbagai bidang teknikal yang lain menyediakan ruang untuk membangunkan kebolehan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak turut meluluskan pembiayaan penuh kos pengajian di institusi pendidikan tinggi terpilih di Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada golongan muda membina kerjaya dalam bidang teknologi.

Sementara itu, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah HPTN 2026 dengan acara kemuncak dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Aidel berharap penganjuran berkenaan menjadi platform perkongsian kepakaran, jaringan profesional serta kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, badan profesional, institusi pendidikan dan pemain industri.

Beliau turut berharap penganjuran HPTN 2026 dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sumbangan profesion teknikal serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU