BINTULU: Penganjuran Program Build Brigade – CSR CIDB dan Industri Pembinaan Bahagian Bintulu di Balai Raya Kampung Kemunting, di sini, bukan sekadar membina semula kemudahan fizikal, tetapi membina semangat, harapan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Beliau menzahirkan penghargaan atas usaha CIDB dan rakan industri yang tampil membantu membaik pulih kemudahan masyarakat yang rosak akibat banjir besar yang melanda Bintulu penghujung Januari lalu.
“Bencana itu telah meninggalkan kesan yang amat besar kepada infrastruktur setempat. Namun hari ini, kita menyaksikan bagaimana kolaborasi antara agensi kerajaan, industri pembinaan dan komuniti mampu mengubah cabaran menjadi peluang untuk membina semula, bukan sahaja bangunan, tetapi semangat kekitaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan Program Build Brigade – CSR CIDB dan Industri Pembinaan Kawasan Bintulu di Balai Raya Kampung Kemunting, semalam (Rabu).

ADUN Jepak itu menyifatkan kerja-kerja baik pulih dewan ini sebagai satu langkah bijak dan sangat tepat, memandangkan ia menjadi pusat pelbagai aktiviti sosial, pendidikan dan belia.
“Apabila kemudahan seperti ini dipulihkan, ia membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti kemasyarakatan untuk terus dijalankan dengan selesa dan selamat. Ini akan memperkukuhkan jaringan sosial dalam komuniti,” katanya lagi.
Menurut beliau, inisiatif seperti ini mencerminkan keprihatinan dan nilai tanggungjawab sosial yang tinggi daripada sektor industri, terutamanya dalam menyantuni keperluan masyarakat luar bandar.
“Saya yakin, jika pendekatan seperti ini diteruskan, lebih banyak kawasan dapat dibantu, lebih banyak kemudahan dapat dibaik pulih, dan lebih ramai rakyat akan merasai manfaat hasil kerjasama merentas sektor,” tegasnya sambil menyeru agar lebih banyak syarikat pembinaan mencontohi langkah CIDB.
Program tanggungjawab sosial anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama enam syarikat kontraktor pembinaan itu memberi tumpuan khusus kepada kerja-kerja pembaikan balai raya yang menjadi pusat kegiatan masyarakat setempat.
Ia merangkumi kerja-kerja baik pulih struktur dewan, pagar, pintu, kipas industri, sistem roller shutter, peralatan elektrik serta cat semula keseluruhan dewan, penyelenggaraan sistem elektrik dan kebersihan kawasan sekeliling.
Enam syarikat kontraktor yang terlibat ialah Hyup Soon Industries Sdn. Bhd., Paling Construction Sdn. Bhd., China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd., Score EPCC Sdn. Bhd., dan Hing Teck Glass & Aluminium Sdn. Bhd.
Pengerusi CIDB Malaysia, Ir. Yusuf Abd Wahab, Pengarah CIDB Sarawak, Ts. Rosmen Ag. Hassan dan Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan hadir sama.

