KUCHING: Program Dwibahasa (DLP) Sarawak akan diperluaskan ke peringkat sekolah menengah mulai 2026 melibatkan semua murid Tingkatan 1 sebagai kumpulan pertama.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kumpulan pelajar tersebut akan meneruskan kaedah pembelajaran itu sehingga tingkatan 5.
“Apabila di peringkat menengah atas (Tingkatan 4 dan 5) subjek Sains Tulen seperti Biologi Kimia Fizik dan Matematik Tambahan akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris” katanya.
Beliau berkata, program DLP Sarawak kekal sebagai antara strategi utama untuk meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.
“Dengan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, DLP Sarawak membantu melahirkan pelajar yang lebih kompetitif serta lebih bersedia menghadapi masa depan.
“Usaha ini amat penting dalam meningkatkan penyertaan dalam bidang STEM, serta melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam kalangan anak Sarawak” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sagah menjelaskan bahawa Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) Tahun 6 yang berlangsung pada 15 dan 16 Oktober lalu telah melibatkan 1050 sekolah kerajaan sekolah bantuan kerajaan dan sekolah swasta.
“Sebanyak 29,002 murid Tahun 6 menduduki kertas Matematik dan Bahasa Inggeris, manakala kira-kira 29,000 murid turut menduduki kertas Sains.
“Bagi subjek Bahasa Inggeris, ia mencatat keputusan tertinggi dengan kadar kelulusan 90.97 peratus sekali gus menunjukkan keberhasilan inisiatif peningkatan penguasaan bahasa tersebut.
“Bagi mata pelajaran Sains, ia merekodkan kadar kelulusan 84.71 peratus namun bilangan pelajar cemerlang masih rendah, manakala Matematik kekal menjadi cabaran utama dengan kadar kelulusan 61.01 peratus terutama di sekolah luar bandar dan Sekolah Kurang Murid (SKM)” ujarnya.
Justeru kata Sagah, keputusan berkenaan menunjukkan keperluan intervensi segera dan lebih berfokus khususnya dalam Matematik, memandangkan subjek Matematik dan Sains menjadi asas kepada pembentukan tenaga kerja mahir dalam bidang STEM menjelang 2030.
Dalam pada itu katanya, literasi digital kekal sebagai keutamaan bagi tahun 2026 dan seterusnya sepanjang 2025 beberapa inisiatif seperti STEM Catalyst telah dilaksanakan.
“Ini merangkumi lebih 160 sekolah luar bandar dan lebih 6,000 pelajar melalui aktiviti robotik pengaturcaraan dan teknologi hidrogen” ujarnya.
Bagi program kemahiran masa hadapan untuk semua, jelas Sagah ia dilaksanakan bersama UNICEF dan Kementerian Pendidikan yang turut memberi pendedahan kod pengaturcaraan dan komputer kepada 4,161 murid dan guru dari 161 sekolah.
“Kementerian saya menegaskan komitmen untuk memastikan akses digital yang saksama khususnya di kawasan luar bandar melalui lebih banyak aktiviti praktikal bagi membina kemahiran digital dan keyakinan pelajar.
“Kerjasama dengan rakan strategik swasta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan juga akan diteruskan bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir dalam era digital” ujarnya.

