KUCHING: Program Geng Subuh Macam Jumaat yang berlangsung di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin dekat sini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, mereka semangnya menyambut baik aktiviti seumpama itu dan berharap agar ia dapat dilaksanakan selalu khususnya menjelang bulan Ramadan nanti.
“Menerusi program anjuran CATS FM ini juga kita melihat ramai jemaah menunaikan solat fardhu Subuh bersama-sama dan ini juga merupakan perkara yang sangat digalakkan.
“Terima kasih kerana banyak mengadakan aktiviti kemasyarakatan dan ingin menjemput mereka selalu ke kawasan kita untuk mengimarahkan lagi aktiviti supaya dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri kempen Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin, hari ini.
Tambahnya, menjelang bulan Ramadan pada Mac ini juga kebiasaannya pihak pengurusan masjid akan mengadakan pelbagai aktiviti dan mengharapkan penglibatan masyarakat.
“Justeru, kita ingin mengajak rakan-rakan dermawan, ahli korporat untuk beramal dan bersedekah bagi menyokong program berbuka puasa di masjid serta banyak lagi.
“Terdapat juga pelbagai pengisian program yang menarik sepanjang bulan itu nanti, bukan sahaja solat lima waktu tetapi juga aktiviti lain,” jelasnya.
Untuk rekod, program tersebut juga menyaksikan lebih 1,000 jemaah yang hadir sekali gus menunaikan solat Subuh berjemaah.



