KUCHING: Program Gotong-Royong Perdana Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) akan dijadikan acara tahunan bagi mengukuhkan semangat komuniti serta mengekalkan kebersihan bandar raya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan persekitaran.
“Menerusi persetujuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan ketua kampung empat buah kampung, program ini kini menjadi acara tahunan.

“Orang ramai dapat bersama-sama membersihkan kawasan kampung BGS daripada sampah sarap bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan terurus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Gotong-Royong Perdana BGS di sini, hari ini.
Tambah beliau, DBKU sentiasa berusaha memastikan semua kawasan di bawah pentadbirannya berada dalam keadaan bersih.
“Program seperti ini juga mengukuhkan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), penduduk kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
“Pelaksanaan program serupa akan diperluaskan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain termasuk Semariang, Tupong, Satok dan Demak Laut,” ujarnya.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah dan seluruh warga kerja DBKU atas usaha menjayakan program ini dan menggalakkan pelibatan komuniti setempat.
“Penyertaan penduduk kampung bersama-sama NGO, institusi pendidikan dan sukarelawan bukan sahaja meningkatkan kebersihan kawasan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.
Untuk makluman, program ini melibatkan pelbagai aktiviti termasuk pembersihan sampah sarap di kawasan sekitar, pemungutan sisa kerja landskap, pemotongan pokok domestik, mengecat semula kemudahan awam serta pelaksanaan kempen kitar semula.




