MUKAH: Program Gunting Rambut Percuma – Back to School merupakan antara inisiatif penting dalam meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program ini memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak agar mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa dan teratur.


Menurutnya, pendaftaran dibuka kepada 200 kanak-kanak bagi memudahkan pengurusan serta pembahagian tugasan kepada tukang gunting rambut yang terlibat.
“Kita dapat melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan kehadiran secara terus (walk-in) turut diterima, menyebabkan jumlah peserta dijangka melebihi sasaran asal.
“Ini menunjukkan bahawa program ini amat diperlukan oleh ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Gunting Rambut Percuma – Back to School di Perkarangan Masjid Setia Raja, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, program tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat N57 Tellian, Masjid Setia Raja Mukah, SABERKAS Cawangan Tellian, Biro Pendidikan Daerah Mukah dan Skuad Antidadah Negeri Sarawak.
Jelasnya, kerjasama seperti ini amat penting bagi memastikan kelancaran sesebuah program.
Dalam pada itu, Royston turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

