KUCHING: Bank Islam Malaysia Berhad bertekad untuk memperluaskan program i-Tekad di Sarawak bagi memberikan manfaat kepada usahawan kecil tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, sebelum ini Bank Islam telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Islam Sarawak.
“MoU tersebut membenarkan perluasan program i-Tekad di Sarawak dengan meningkatkan bilangan peserta dan sektor perniagaan yang terlibat.

“Selain itu, program ini juga merangkumi perkhidmatan latihan dan bimbingan perniagaan bagi membantu peserta, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah seperti golongan asnaf B40 serta meningkatkan pendapatan melalui keusahawanan dan usaha niaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan potensi peserta, menjana pendapatan yang lebih baik dan memperbaiki kedudukan kewangan mereka dalam program i-Tekad Mikro ini.
Jelasnya, untuk memberikan sokongan yang berterusan kepada peserta, pihaknya sedang menubuhkan hab latihan perniagaan di Sarawak.
“Ini akan dibantu oleh jurulatih perniagaan yang dilantik untuk memberikan bimbingan dan ‘mentorship’ secara berterusan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Bank Islam turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM 760,000 kepada Majlis Islam Sarawak yang diperoleh daripada hasil perniagaan Bank Islam bagi tahun 2023 dan disaksikan oleh Premier.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.



