KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) hari ini melancarkan TechFrontier Incubator Cohort 1 sebagai langkah mempercepatkan pengkomersialan penyelidikan, merangsang penubuhan perusahaan berasaskan inovasi teknologi mendalam serta menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi di negeri ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEDC, Datuk Sudartono Osman.


Menurut kenyataan SDEC, program itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak yang menekankan pertumbuhan berteraskan inovasi, penggunaan teknologi digital dan pembangunan bakat sebagai pemacu utama ke arah status pendapatan tinggi Sarawak menjelang 2030.
“TechFrontier Incubator bukan sekadar menyokong inovasi, sebaliknya bertujuan menukar modal intelek kepada nilai ekonomi melalui pembinaan perusahaan baharu, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab Penyelidikan dan Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam teknologi digital,” kata Sudartono.
Menurut SDEC, TechFrontier Incubator berfungsi merapatkan jurang antara penyelidikan dengan industri dengan menyokong transformasi teknologi yang telah disahkan kepada penyelesaian berskala dan sedia pasaran.
Program itu membuka peluang kepada penyelidik untuk mengembangkan hasil penyelidikan mereka melepasi persekitaran makmal, dengan tumpuan kepada inovasi berpotensi tinggi yang mampu mencipta nilai kepada ekonomi Sarawak.
Bagi kohort sulung, SDEC melantik NEXEA sebagai rakan program yang menyediakan bimbingan berstruktur, pemadanan usahawan serta akses kepada pengasas berpengalaman dan rangkaian pelabur.
Pasukan berpotensi tinggi turut berpeluang mendapatkan pembiayaan pelaburan sehingga RM250,000 bagi mempercepatkan pembangunan produk dan kemasukan ke pasaran.
Program ini memberi tumpuan kepada teknologi pemacu utama termasuk Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan penyelesaian tenaga yang diaplikasikan merentas sektor seperti pertanian, penjagaan kesihatan, teknologi makanan, pembinaan dan pelancongan.
Melalui pendekatan itu, TechFrontier Incubator menyasarkan untuk merangsang penubuhan usaha niaga baharu, menarik pelaburan serta memberikan impak ekonomi mampan kepada Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai TechFrontier Incubator dan aktiviti program akan datang, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi program berkenaan di https://techtoimpact.sarawak.digital/techfrontier-incubator

