SARATOK: Pendekatan turun padang menerusi Program Jangkauan Setiausaha Politik Kali Ke-30 di Saratok disifatkan signifikan untuk memastikan masyarakat akar umbi memahami dengan menyeluruh dasar serta hala tuju Kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri, berkata perkongsian maklumat secara terus penting kerana kerajaan mahu setiap rancangan pembangunan, inisiatif serta skim bantuan yang ditawarkan dapat dimanfaatkan rakyat keseluruhannya.

Menurutnya lagi, fokus utama kerajaan agar hasil pembangunan yang melimpah ruah dapat dinikmati semua.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Premier Sarawak di atas usaha menganjurkan sesi taklimat serta penerangan Inisiatif dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak.
“Saya yakin dengan pendekatan turun padang ini, anda sebagai ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dijemput berpeluang mendapat maklumat tepat mengenai perkembangan terkini pelbagai inisiatif serta projek fizikal yang sedang rancak dilaksanakan di Kalaka.
“Selain itu, dasar dan hala tuju Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), seperti mana termaktub dalam PCDS 2030, yakni tumpuan membangunkan wilayah Sarawak menjadi wilayah maju, dapat difahami dengan jelas,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Program Jangkauan Setiausaha Politik Kali Ke-30 di SARATOK.
Ia diserta kira-kira 450 barisan KMKK dan ahli JKKK di Dewan Masyarakat Sri Krian semalam.
Beliau berharap selepas ini, barisan kepimpinan akar umbi dapat bertindak proaktif dengan berhubung terus dengan pegawai atau agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.
“Saya juga berharap maklumat, yang diperoleh sepanjang hari, jangan disimpan atau dimanfaatkan oleh diri sendiri sahaja.
“Anda sebagai pemimpin akar umbi harus memainkan peranan untuk berkongsi dan menyebarkan semua maklumat kepada anak-anak buah di kawasan masing-masing.
“Sesungguhnya, Kerajaan GPS enggan melihat seorang pun tercicir atau terpinggir dalam arus pembangunan yang sedang rancak berjalan ketika ini,” ujarnya.
Perkongsian tentang maklum balas yang sangat dekat di hati warga Kalaka disampaikan oleh beberapa Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, iaitu, Abdul Aziz Datuk Dr Abang Draup (PCDS 2030), Dr Dayang Fifie Datuk Seri Abang Abdul Karim (Inisiatif Kerajaan Sarawak), dan Abdul Samat Gany (Ekonomi Hijau).
Selain itu, penerangan tentang bantuan kewangan bagi pembelian perubahan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage & Finance, Awang Irwan Awang Shawal, dan Skim Bantuan Kewangan Sewaan Perumahan oleh Abang Zaidan Abang Abdul Rahim daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Taklimat turut diberikan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

