KUCHING: Program Jerayawara Project of Dreams Realized (Pro-DR) bakal menjelajah ke 14 lokasi seluruh Sarawak bermula dari 23 Julai hingga 22 Ogos depan.
Lokasi yang terlibat termasuk Lawas, Limbang, Long Lama, Sebauh, Mukah, Daro, Tanjung Manis, Kapit, Bintangor, Saratok, Balai Ringin, Sebuyau, Padawan dan Lundu.
Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh berkata penganjuran program seumpama itu penting sebagai platform penyampaian maklumat terkini berkaitan pendidikan, kerjaya, latihan serta bantuan kewangan kepada para pelajar khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, selepas sedekad penganjurannya, sambutan daripada komuniti di setiap lokasi amat menggalakkan, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan turun padang dan komunikasi langsung kepada kumpulan sasar.
“Ini menunjukkan pentingnya usaha berterusan TEGAS dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada maklumat dan peluang membina masa depan yang lebih cerah.
“Justeru, kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan amat penting bagi menangani isu berkaitan pendidikan dan pekerjaan serta mengukuhkan daya saing pasaran kerja tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Menegnai SCaT Fair, Len yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar memberitahu, sebanyak 1,561 kekosongan peluang pekerjaan ditawarkan meliputi sektor pembinaan, pembuatan dan pelbagai bidang lain.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa TEGAS akan berkolaborasi dengan ASEAN Foundation dan Maybank Foundation untuk menganjurkan Youth ExChange Program yang memfokuskan kepada pembelajaran alam sekitar, melibatkan 14 buah sekolah seluruh Asia.
Program itu juga akan menyaksikan penyertaan 2,323 pelajar, 131 guru dan 167 belia serantau, dan dijadual berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos depan di Perkampungan Digital TEGAS.
“Inisiatif itu menyasarkan penyertaan golongan belia, kelab alam sekitar, artis muda, pemimpin belia, wakil industri, agensi kerajaan, NGO dan penggubal dasar, dalam usaha memupuk gaya hidup lestari secara proaktif dan kreatif,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn sekali gus mewakili Premier; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS)
merangkap Setiausaha TEGAS, Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Bendahari TEGAS, Datuk Snowdan Lawan; serta wakil yang lain.



