MUKAH: Hampir dua tan lebihan makanan berjaya diselamatkan daripada pembaziran menerusi Program MySaveFood Ramadan yang berlangsung selama tujuh hari di Bazar Ramadan Setiaraja, Mukah.
Jumlah keseluruhan makanan yang dikumpulkan dianggarkan bernilai lebih RM20,000 dan diagihkan kepada hampir 1,000 penerima termasuk pelajar B40 Politeknik Mukah (PMU) serta golongan memerlukan di sekitar Mukah.


Program tersebut merupakan anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) serta Gerakan Pengguna Siswa (GPS) PMU.
Pengerusi GEMA Negeri Sarawak, Mohd Amirrul Mukminin berkata, Bazar Ramadan Mukah merupakan antara lokasi dengan jumlah kutipan makanan yang diselamatkan paling tinggi di Malaysia pada tahun ini.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan lebihan makanan yang masih elok tidak berakhir sebagai sisa pepejal.
“Pada masa sama, ia membantu memelihara alam sekitar dan mengurangkan pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Sementara itu, Penasihat GPS PMU merangkap Ketua Penyelaras Sukarelawan MySaveFood Bahagian Mukah, Fatihah Ahmad berkata pelibatan pelajar dalam program berkenaan memberi pendedahan langsung terhadap isu pengurusan sisa makanan dan tanggungjawab sosial.
“Mahasiswa bukan sahaja menyumbang tenaga sebagai sukarelawan, malah mempelajari aspek pengurusan, koordinasi dan khidmat komuniti secara praktikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, peniaga Bazar Ramadan Mukah menyifatkan program tersebut sebagai inisiatif murni yang wajar diteruskan.
Menurut mereka, pembaziran bukan amalan yang baik dan sedekah merupakan amalan mulia yang sangat digalakkan dalam bulan Ramadan.
Program MySaveFood Ramadan Mukah 2026 dilihat sebagai model kerjasama berimpak tinggi antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan dalam menangani isu pembaziran makanan di peringkat komuniti.

