ARTIKEL

LAWATAN… Sekitar lawatan Aris ke Pasar Komuniti Stutong, hari ini.

Program Pasar Patuh bentuk budaya integriti peniaga di pasar awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pasar awam di negara ini kini memasuki fasa baharu apabila pendekatan pematuhan perdagangan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya mula digerakkan sebagai usaha membina budaya integriti dan kesedaran dalam kalangan peniaga.

Perubahan pendekatan itu diterjemahkan melalui pelaksanaan Program Pasar Patuh (3P) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang memberi tumpuan kepada pendidikan pematuhan secara langsung di lapangan, khususnya di pasar awam.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat berkata, Pasar Komuniti Stutong dipilih sebagai antara lokasi awal pelaksanaan program berkenaan di Sarawak.

“Ia sekali gus menjadi platform rintis bagi menilai keberkesanan pendekatan baharu yang lebih menekankan pembudayaan berbanding tindakan punitif,” katanya selepas mengadakan lawatan pemantauan di Pasar Komuniti Stutong, hari ini.

Menurut Aris, Program Pasar Patuh (3P) yang diperkenalkan pada 29 Oktober 2025 itu dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan pelaksanaan rintis di satu pasar awam terpilih bagi setiap negeri sebelum diperluaskan secara berperingkat ke daerah utama di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif ini memberi penekanan kepada pembentukan budaya pematuhan yang berterusan, termasuk aspek ketelusan harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan serta pematuhan terhadap peraturan perlindungan pengguna.

“Pendekatan ini turut menjadikan pasar awam sebagai ruang pembelajaran praktikal kepada peniaga untuk memahami dan mematuhi keperluan undang-undang perdagangan dalam urusan harian mereka.

“Ia juga bertujuan mengurangkan isu seperti manipulasi harga dan ketidaktepatan timbangan, di samping meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ketelusan transaksi di pasar awam,” katanya.

Beliau berkata, keberkesanan program ini amat bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pengurusan pasar, peniaga serta pengguna dalam membentuk ekosistem perdagangan yang lebih telus dan berintegriti.

Sementara itu, beliau berkata, hasil lawatan hari ini mendapati tahap pematuhan di Pasar Komuniti Stutong berada pada tahap baik, dengan majoriti peniaga mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta menunjukkan komitmen terhadap amalan perniagaan beretika.

“Saya melihat tahap kesedaran peniaga di pasar ini semakin meningkat. Perkembangan ini penting bagi memastikan objektif Program Pasar Patuh dapat dicapai secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memainkan peranan sebagai rakan pemantau dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan salah laku perdagangan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 serta aplikasi Ez ADU KPDN.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU