KUCHING: Program pendidikan tinggi percuma yang bakal diperkenalkan tahun hadapan masih memerlukan penjelasan menyeluruh di peringkat akar umbi bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, ramai penduduk terutama di kawasan luar bandar beranggapan bahawa pendidikan percuma itu merangkumi semua jurusan, termasuk kemudahan seperti buku teks dan penginapan.
“Persepsi bahawa semuanya percuma tidak tepat, dan kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai kursus yang ditawarkan, serta kos yang sebenarnya ditanggung,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026 dalam persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Sehubungan itu, Azizul mencadangkan agar kementerian berkaitan bersama agensi dan pusat khidmat kawasan turun padang menjalankan sesi libat urus bagi menangani kekeliruan tersebut.
Katanya, syarat kemasukan dan kelayakan untuk menikmati manfaat pendidikan percuma turut perlu diperincikan kepada masyarakat.
“Sebagai contoh, adakah pelajar yang gagal SPM dalam subjek, wajib layak menikmati pendidikan percuma? Dan jika pelajar gagal pada tahun pertama pengajian adakah pembiayaan akan diteruskan? Ini persoalan yang sering timbul di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan pendidikan percuma tidak seharusnya menjejaskan mutu graduan.
Menurutnya, wujud kebimbangan bahawa sebahagian pelajar mungkin mengambil ringan pembelajaran kerana tidak menanggung kos pengajian, sekali gus hanya mensasarkan sekadar lulus tanpa motivasi untuk mencapai keputusan cemerlang.
“Meskipun percuma, kualiti graduan mesti setaraf dengan keperluan industri. Kerajaan perlu mengantisipasi cabaran-cabaran ini sebelum program dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Azizul turut menyentuh mengenai kesiapsiagaan Sarawak sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
Menurutnya, lebih 50 disiplin sukan bakal dipertandingkan di Sarawak menjadikan pembangunan sukan sebagai elemen penting dalam pembentukan modal insan.
Beliau turut meminta agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan sebuah sekolah sukan bertaraf nasional di Sarawak setanding dengan Bukit Jalil atau Bandar Penawar.
“Jika Sarawak mampu menubuhkan sekolah antarabangsa, tidak mustahil untuk kita membangunkan sebuah sekolah sukan bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi,” tambahnya.



