KUCHING: Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak yang digerakkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sejak tahun 2019, terus menunjukkan hasil memberangsangkan apabila sebanyak 50.04 juta pokok telah ditanam sehingga 20 Ogos 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini membuktikan komitmen dan kecekapan warga JHS dalam memelihara khazanah hutan negeri, selain menyahut seruan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok yang dilancarkan pada tahun 2020.
“Usaha berterusan JHS membuahkan hasil apabila 137,178.75 hektar kawasan hutan terosot berjaya dipulihkan, mewakili 68.6 peratus daripada sasaran keseluruhan penanaman pokok dan pemuliharaan 200,000 hektar hutan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Pesara Jabatan Hutan Sarawak 2024 di sini pada malam Isnin.
Menurutnya lagi, situasi ini menggambarkan nilai yang diamalkan oleh warga JHS yang menjadi tulang belakang dalam pengurusan sumber hutan negeri.
“Kita mempunyai kakitangan, warga Jabatan Hutan yang begitu komited, amanah, bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dengan penuh integriti. Ini menjurus kepada kecekapan dari segi pengurusan kerja-kerja kita,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pesara dan warga jabatan atas sumbangan serta dedikasi mereka dalam memastikan sumber hutan Sarawak terus diurus secara lestari.
Pada majlis itu, kira-kira 1,500 warga JHS diraikan dalam suasana penuh gemilang dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Pesara Jabatan Hutan Sarawak 2024.




