SAMARAHAN: Program Sarawak Digital Champion yang dianjurkan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Tanjung Bundung berjaya menghimpunkan lebih 60 peserta sepanjang pelaksanaannya dari Mei hingga September 2026.
Program yang diadakan sebulan sekali itu ditaja sepenuhnya oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak sebagai rakan penyampaian.
Menurut kenyataan media NADI, program berkenaan memberi peluang kepada usahawan sedia ada serta bakal usahawan untuk mempelajari dan memanfaatkan teknologi digital bagi menyokong perkembangan perniagaan mereka.
Peserta didedahkan kepada penggunaan pelbagai bahan dan platform digital, termasuk aspek keselamatan siber, ciri penting dalam memajukan perniagaan serta kaedah digital bagi memudahkan urusan perniagaan dan pemasaran produk atau perkhidmatan.
Program terbabit menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu jurulatih program, Ts. Mohd Khairulazwan Sulaiman.
Beliau merupakan seorang jurutera perisian yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendigitalan perniagaan dan syarikat.
Menurutnya, program berkenaan diharap dapat membantu masyarakat Samarahan memanfaatkan teknologi digital untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan, sekali gus memperkukuh ekosistem usahawan di daerah berkenaan.
Pada masa sama, maklumat berkaitan program dan komuniti usahawan berkenaan terus dikongsikan menerusi pelbagai platform bagi memastikan usahawan serta bakal usahawan di Samarahan mengetahui kewujudan komuniti aktif yang boleh mereka sertai.
Mereka yang berminat boleh menghubungi pihak NADI Kampung Tanjung Bundung untuk mendapatkan maklumat mengenai program seumpama itu yang akan dianjurkan pada masa hadapan.



