BAU: Pendekatan turun padang menerusi Program Sentuhan Kasih Mas yang berlangsung di Terminal Bas Bau berjaya menarik penyertaan lebih 500 pengunjung, sekali gus membuktikan komitmen berterusan terhadap kesejahteraan warga emas.
Program anjuran Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Mas Gading sempena Sambutan Hari Warga Emas Sedunia itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, pelajar dan ahli keluarga mereka.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berkata, kejayaan program tersebut mencerminkan semangat kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti dalam melaksanakan agenda kebajikan di peringkat akar umbi.
“Usaha sebegini bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat malah membolehkan golongan warga emas menikmati kemudahan kerajaan dengan lebih mudah dan mesra,” katanya.
Antara pengisian menarik ialah perkhidmatan potongan rambut percuma oleh Hair Vision Saloon Academy dan Radhi Barbershop yang dimanfaatkan oleh 126 warga emas sebagai tanda penghargaan terhadap golongan berkenaan.

Dalam masa sama, lebih 400 pendaftaran baharu Kad Konsesi BAS.MY Kuching turut direkodkan menerusi reruai LPKP Sarawak.
Kad itu menawarkan tambang istimewa kepada warga emas, pelajar dan golongan OKU sebagai sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mengurangkan kos pengangkutan harian.
Program turut menyediakan Kaunter Perkhidmatan Digital yang membantu pengunjung membuat semakan dan pendaftaran bagi pelbagai bantuan seperti Kad Kenyalang Gold Card (KGC), Senior Citizen Health Benefit (SCHB), Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sambutan positif yang diterima membuktikan bahawa pendekatan mesra rakyat seperti ini berupaya memperkukuh jaringan sosial antara generasi serta memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.

