ARTIKEL

DATUK DR. RICHARD RAPU

Program SKS Betong Himpun 158 Perkhidmatan Daripada 48 Agensi Kerajaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong yang membuka tirainya esok menjadi platform interaksi secara langsung antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan perkhidmatan serta maklumat kerajaan di satu lokasi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu menyeru masyarakat agar mengambil peluang berkunjung ke program berkenaan yang menghimpunkan 158 jenis perkhidmatan daripada 48 agensi kerajaan.

Menurutnya, penganjuran SKS penting kerana ia membawa perkhidmatan, bantuan dan maklumat kerajaan lebih dekat kepada rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.

“Melalui program ini, masyarakat bukan sahaja dapat mengetahui pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan, malah berpeluang berinteraksi secara terus dengan agensi berkaitan.

“Kerajaan bukan sahaja hadir untuk menyampaikan perkhidmatan, tetapi juga untuk mendengar pandangan, masalah dan keperluan rakyat.

“Maklum balas seperti ini penting supaya tindakan serta perancangan kerajaan dapat disesuaikan dengan keadaan sebenar di lapangan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Jelasnya, pendekatan menghimpunkan pelbagai agensi dalam satu program turut memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan tanpa perlu berkunjung dari satu pejabat ke pejabat lain.

“Jangan lepaskan peluang yang disediakan kerana program ini bukan sekadar acara, tetapi menjadi ruang untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat,” ujarnya.

Dr. Richard turut menggalakkan masyarakat hadir bersama-sama keluarga dan memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan serta aktiviti yang disediakan sepanjang program.

Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong turut diserikan dengan Malam Budaya pada 25 September dan Konsert Rakyat pada 26 September, selain pelbagai aktiviti lain sepanjang penganjuran selama tiga hari itu.

Lebih menarik, sebanyak 40 hadiah cabutan bertuah disediakan setiap hari, dengan hadiah utama berupa sebuah Perodua Bezza X.

Terdahulu, beliau dijemput menghadiri Bual Bicara ‘Juh Randau’ sempena Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong di Studio Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kuching.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU