ARTIKEL

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pustaka Negeri Sarawak, Japri dikelilingi para tetamu kenamaan.

Program sosial ceriakan warga emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pendekatan aktiviti sosial seperti penganjuran Ramah Tamah Aidilfitri oleh Kelab Digital Warga Emas (DIWARMAS) memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan mental serta kesejahteraan emosi golongan warga emas.

Program anjuran DIRWARMAS dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak menyediakan ruang berinteraksi, bantu kurangkan rasa kesunyian dan tingkatkan kualiti hidup mereka melalui hubungan sosial yang lebih erat.

Dalam suasana yang santai dan penuh kemesraan, warga emas berpeluang berkongsi pengalaman, membina kenangan baharu serta merasai sokongan komuniti yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, penganjuran majlis tersebut berjaya meningkatkan keceriaan dalam kalangan ahli di samping merapatkan hubungan kerjasama dengan rakan strategik.

Aktiviti sosial yang dianjurkan secara tersusun mampu memberi impak besar terhadap emosi positif peserta serta memupuk semangat kesetiakawanan yang kukuh.

“Pustaka Negeri Sarawak sentiasa komited dalam menyokong program kelas literasi digital DIWARMAS serta aktiviti sokongan sosial kerana usaha ini selari dengan peranan institusi tersebut dalam membangunkan masyarakat berteraskan ilmu pengetahuan dan menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DIWARMAS, Mohamed Noh @ Johnny Adam, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan meluangkan masa bagi menjayakan program tersebut.

Beliau berkata kehadiran para tetamu bukan sahaja menceriakan suasana, malah mencipta kenangan indah.

Pada masa yang sama, beliau menitipkan pesan agar warga emas tidak mudah berputus asa dalam mendepani cabaran kehidupan, khususnya dalam usaha menguasai teknologi moden yang semakin berkembang pesat.

“Semua ahli digalakkan untuk terus memberi sokongan antara satu sama lain serta mengekalkan semangat dalam menimba ilmu, terutamanya dalam bidang digital.

“Usaha mempelajari teknologi perlu dilakukan secara konsisten dengan menghadiri kelas yang diadakan pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis,” jelasnya.

Di samping itu, beliau berkata setiap individu dilahirkan tanpa pengetahuan, justeru sikap terbuka serta keinginan untuk terus belajar adalah kunci utama dalam memperoleh ilmu dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Dalam majlis yang sama, Mohamed Noh turut merakamkan penghargaan kepada pihak Pustaka Negeri Sarawak atas kesudian menyediakan ruang serta menaja lokasi penganjuran secara percuma.

Beliau juga mendoakan agar ikatan persaudaraan yang terjalin antara ahli dan rakan strategik akan terus kukuh, di samping berharap program kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat bersama.

Sementara itu, penyelaras DIWARMAS, Kalthoum Adni, menyifatkan program Ramah Tamah Aidilfitri tahun ini sebagai satu kejayaan yang amat bermakna.

“Kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang usia telah mewujudkan suasana harmoni dan mesra, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan intergenerasi yang diketengahkan.

“Pendekatan ini memberi banyak kelebihan, antaranya meningkatkan komunikasi antara generasi muda dan warga emas, memberi peluang kepada warga emas untuk berasa lebih dihargai serta disokong, dan membuka ruang kepada perkongsian ilmu secara dua hala melibatkan teknologi serta pengalaman hidup,” ujarnya.

Menariknya, Kalthoum atau mesra dengan nama Cikgu Som memberitahu, antara aktiviti paling popular dalam kalangan ahli DIWARMAS ketika ini ialah pembelajaran menghasilkan permainan interaktif menggunakan platform digital seperti Loveable.

“Aktiviti ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi peluang kepada warga emas untuk mencipta kandungan digital sendiri seperti kuiz atau permainan berkonsep mudah.

“Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan mereka dalam menggunakan teknologi serta menggalakkan kreativiti dalam kalangan ahli,” jelasnya.

Lebih signifikan, ujarnya penggunaan teknologi ini turut membuka ruang kepada warga emas untuk memahami dan memanfaatkan kelebihan kecerdasan buatan dalam kehidupan seharian.

“Mereka kini tidak lagi sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mula beralih kepada peranan sebagai pencipta kandungan digital. Perkembangan ini selaras dengan matlamat DIWARMAS untuk melahirkan warga emas yang aktif, kreatif dan celik digital, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus belajar dan berkembang.

“Dari segi sambutan, penyertaan ahli dilihat amat memberangsangkan apabila kehadiran bukan sahaja konsisten, malah semakin meningkat dari semasa ke semasa. Penglibatan peserta daripada pelbagai peringkat umur dalam program tertentu turut mewujudkan interaksi antara generasi yang positif.

“Keadaan ini membantu meningkatkan keyakinan warga emas untuk mempelajari teknologi serta menggalakkan mereka untuk terus aktif dalam komuniti,” ujarnya.

Menurut beliau, antara perkembangan terkini kelab seperti pengenalan teknologi kecerdasan buatan dalam pembelajaran dan pengurusan harian. Inisiatif ini membolehkan ahli membangunkan aplikasi dan sistem yang dapat memudahkan urusan komuniti, selaras dengan perkembangan semasa di Malaysia yang menekankan penggunaan teknologi digital dalam pelbagai sektor.

Dedahnya, pendekatan pembelajaran berasaskan empati dan simpati turut diterapkan bagi memastikan warga emas berasa selesa dan yakin dalam proses pembelajaran.

DIWARMAS juga terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti perpustakaan, klinik kesihatan dan komuniti setempat bagi memastikan program dilaksanakan memberi manfaat menyeluruh.

“Bagaimanapun, pengurusan kelab tidak terlepas daripada cabaran seperti perbezaan tahap kemahiran digital dalam kalangan ahli, kekangan peranti dan capaian internet, keperluan memastikan pelibatan berterusan serta kekurangan tenaga pengajar.

“Namun, semua cabaran ini ditangani secara berperingkat melalui pendekatan bimbingan santai dan berfasa. Secara keseluruhannya, usaha ini menunjukkan bahawa DIWARMAS bergerak ke arah yang lebih inovatif, inklusif dan berimpak tinggi dalam membina kesejahteraan sosial warga emas,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU