KUCHING: Seramai 36 belia dari 11 negara ASEAN menyertai Program Sukarelawan Belia ASEAN 2025, menjadikan Sarawak sebagai medan perkongsian budaya dan semangat sukarelawan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program ini bukan sekadar satu inisiatif, sebaliknya menjadi pemangkin kepada transformasi ASEAN yang dibentuk melalui tangan, hati dan harapan generasi mudanya.


“Penyertaan belia dalam program ini melangkaui sekadar memenuhi tema “Belia ASEAN: Pemangkin Komuniti Inklusif dan Lestari”, kerana ia membuktikan bahawa kesukarelawanan adalah kekuatan terbesar ASEAN, manakala solidariti pula merupakan alat paling berkesan.
“Apabila anda kembali ke negara masing-masing, anda tidak hanya membawa pulang kenangan, tetapi juga semangat rakyat Sarawak dan kuasa tindakan kolektif untuk kerjasama rentas sempadan yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sukarelawan Belia ASEAN 2025, di English Tea House, di sini, hari ini.
Dalam segmen khidmat komuniti dan pertukaran budaya, para peserta bukan sahaja menjadi pemerhati, tetapi turut serta merasai pengalaman budaya, menjalin hubungan dan menyumbang secara langsung kepada komuniti tempatan di Sarawak.
Tambahnya, sebanyak 14 belia tempatan dari Sarawak juga akan menyertai delegasi ASEAN dalam misi khidmat komuniti di kampung tersebut.
“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), pembelajaran kraf tradisional seperti anyaman, tarian budaya, aktiviti mendaki, ‘plogging’ dan penanaman pokok di Taman Negara Gunung Gading.
“Peserta turut diberi peluang membantu perusahaan tempatan menghasilkan keropok ikan atau udang di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
“Malam Pertukaran Budaya turut dianjurkan, menampilkan juadah tradisional seperti ayam pansuh, umai dan kek lapis Sarawak, sambil peserta turut mengenakan pakaian tradisional masyarakat Iban, Bidayuh dan Melanau,” ujarnya.
Program tersebut menghimpunkan 22 wakil belia dari 11 negara anggota ASEAN, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor Leste, bersama-sama 14 orang belia tempatan dari Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli Abdul Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Chan Hong Jin; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin; dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau.




