Program tarbiah Ramadan LAKIS tarik 1,000 jemaah, bantu 100 asnaf dan warga emas

SPAOH: Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) berjaya menarik kira-kira 1,000 jemaah bagi memeriahkan ambang Ramadan dengan penganjuran Spaoh Berselawat bersempena Jelajah LAKIS 2019 yang berlangsung di Masjid Darul Syifa, baru-baru ini.

Pengerusinya Dr. Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, sambutan terhadap program yang disusun atur amat mengagumkan ditambah dengan kehadiran kumpulan nasyid terkenal tanah air, Rabbani.

“Satu aktiviti berbentuk tarbiah Ramadan yang amat baik dalam usaha dakwah mengajak saudara seislam menginsafi diri.

“Ia sekaligus mendekatkan diri kita sendiri dengan Allah SWT,” katanya pada majlis tersebut.

Jelasnya, usaha tersebut juga sebagai langkah mengimbangi aktiviti sosial dengan keagamaan melalui program berselawat dan nasyid.

Pada majlis yang sama, Ismail turut berkesempatan menyampaikan sumbangan LAKIS kepada 100 asnaf dan warga emas berupa barangan keperluan asas.

Beliau mengharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban seterusnya menghadirkan kegembiraan dalam kalangan penerima menjelang Ramadan.

Program yang bermula sekitar 6:30 petang itu dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah.

Sejurus itu diadakan tazkirah ambang Ramadan oleh Penasihat Akademi Baiki Diri (ABADI) Kuching Ustaz Azmi Saari sehingga Isyak.

Selepas solat Isyak, jemaah diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Imam Masjid Darul Syifa Ibrahim Madeli sebelum diteruskan dengan program berselawat yang dipimpin Rabbani dan Hawari.

Ismail serta rakan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Syifa dan Persatuan Kemajuan Melayu Saribas (PERKEMAS) Zon Spaoh berterima kasih atas sokongan semua untuk kejayaan program tersebut.

Suara Sarawak