KUCHING: Program Timeless Treasures: The Legacy of Old Hokkien School & Darul Kurnia yang berlangsung selama tiga hari diharap dapat memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran program tersebut memberi peluang kepada masyarakat terutamanya pelajar dan pensyarah, terdedah lebih meluas tentang peranan institusi TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
“Program seumpama ini secara langsung dapat mengukuhkan kredibiliti TVET sebagai pilihan pendidikan teknikal berkualiti tinggi serta relevan dengan keperluan industri semasa.
“Kami di MEITD melihat gabungan antara kajian sejarah dan pendidikan teknikal seperti program eksplorasi warisan diharap dapat memberi impak lebih besar kepada pembangunan ilmu serta pemeliharaan warisan.
“Sekali gus memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidkan, industri dan pihak berkepentingan dalam usaha membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian program tersebut di pusat beli-belah Plaza Merdeka yang diwakili oleh Ketua Bahagian Pendidikan Rendah Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Donald Henry Nohed, hari ini.
Program tersebut secara langsung turut mengukuhkan kredibiliti TVET sebagai pilihan pendidikan teknikal berkualiti tinggi serta relevan dengan keperluan industri semasa.
Gabungan antara kajian sejarah dan pendidikan teknikal seperti program eksplorasi warisan justeru memberi impak besar terhadap pemeliharaan warisan dan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak berkepentingan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Kolej Komuniti kerana berjaya merangka dan melaksanakan program dengan kerjasama agensi strategik termasuk PCCS Consultancy Sdn Bhd serta agensi lain dan komuniti setempat.



