SIBU: Sinergi antara Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu dan HRD Corp dalam menjayakan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2026 bertemakan Terokai Kemahiran, Perkasa Masa Depan wajar dipuji kerana berjaya merapatkan jurang literasi teknologi, kemahiran TVET serta digital dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Eksekutif Kanan HRD Corp, Nickson Jampang, berkata kerjasama tiga pihak itu membuktikan program latihan kemahiran berasaskan komuniti mampu memperkukuh literasi teknologi serta melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
Menurutnya, latihan kemahiran bukan lagi sekadar pilihan sampingan, sebaliknya merupakan pelaburan modal insan yang amat penting dalam membentuk tenaga kerja tempatan yang berdaya saing, mampan dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.

“Sehubungan itu, program seperti ini membuktikan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan industri mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan kemahiran serta memperkasakan diri,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program.
Beliau berkata inisiatif berteraskan konsep TVET untuk Semua itu bertujuan merapatkan jurang kemahiran TVET, digital dan sosioekonomi masyarakat secara menyeluruh di peringkat komuniti.
Beliau berkata seramai 100 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat serta pelajar Tingkatan Empat daripada enam sekolah menengah di sekitar Sibu menyertai program berkenaan.
Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hin, SMK Agama Sibu, SMK Kampung Nangka, SMK Bukit Lima, SMK Sungai Merah dan SMK Deshon.

“Mereka mengikuti empat modul latihan amali berimpak tinggi, iaitu kecerdasan buatan (AI) untuk Semua: Bijak Belajar dan Mengurus Tugasan dengan Google AI, Asas Penciptaan Kandungan Video Berasaskan AI dan Etika Digital, Kursus Penghasilan Bebola Daging serta Kursus Asas Pengurusan Acara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar, berkata sebanyak 25 kursus di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berjaya dilaksanakan oleh kolej berkenaan bersama cawangannya di Sibu.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menawarkan pengecualian yuran bagi semua kursus PSH sempena NTW 2026 sehingga 2 Ogos 2026.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat setempat memanfaatkan peluang tersebut bagi meningkatkan kemahiran, menambah ilmu serta memperkukuh daya saing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Turut hadir Pegawai School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) PPD Sibu, Aldrin Simel dan Lau Ung Huat; Timbalan Pengarah KKSRCS merangkap Ketua Unit PSH, Sr Tiong Hua Sang; serta Pegawai Eksekutif HRD Corp, Mirza Izzati Mustapha.


