Program vaksinasi capai imuniti kelompok

KUCHING: Apabila 80 peratus populasi negara ini sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 ini, Malaysia akan dapat mencapai imuniti kelompok, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak itu berkata, selesainya program imun isasi kelak akan menjadikan kehidupan kembali seperti sebelum pandemik.

Itu harapan Fatimah ketika dihubungi Suara Sarawak selepas menerima vaksin Covid-19 berkenaan di Stadium Perpaduan Kuching pada Sabtu.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk tidak perlu bimbang dan takut untuk menerima vaksin berkenaan. “Daftarlah untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 ini, lindungi diri anda dan lindungi semua,” tegasnya lagi.

Berkongsikan pengalamannya disuntik vaksin Covid-19, katanya proses vaksinasi berkenaan jelasnya sama seperti vaksin lain yang diterimanya sebelum ini.

“Yang pasti sakit sedikit apabila dicucuk jarum, itu memang ada, sekejap sahaja. “Selepas itu, saya juga menunggu selama 15 minit melihat sama ada kesan seperti pening, sakit dan sebagainya, syukur tiada apaapa kesan sampingan.

“Semua berjalan lancar dan saya menerima dos kedua pada 20 Mac ini,” katanya.

Turut hadir menerima vaksin berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan beberapa menteri serta pegawai kanan barisan hadapan yang lain.

Suara Sarawak