MUKAH: Keupayaan rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan serta menguasai kemahiran yang diperlukan oleh industri masa hadapan menjadi antara penentu utama kejayaan sesebuah negeri dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kini, kita sedang menyaksikan perkembangan pesat dalam bidang digital, automasi, kecerdasan buatan (AI) teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi digital.
“Industri-industri ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi juga kemahiran teknikal, kreativiti, pemikiran kritikal dan keupayaan menyelesaikan masalah.
“Oleh itu, pelajar perlu melihat pendidikan bukan sekadar untuk memperoleh sijil atau ijazah tetapi satu proses membina ilmu, kemahiran dan nilai yang akan membantu bersaing dalam pasaran pekerjaan global pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jerayawara Project of Dream Realized (PRO-DR) Siri Ke-11 Tahun 2026 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Sarawak juga memberi tumpuan kepada pembangunan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi digital serta AI.
Ujarnya, ini bagi memastikan generasi muda Sarawak bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi masa hadapan.
“Salah satu industri bakal menjadi tumpuan utama pada masa hadapan adalah industri semikonduktor yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya menarik dan berpendapatan tinggi.
“Mereka yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang ini berpeluang memperoleh gaji permulaan antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan,” ujarnya.
“Pelajar perlu mengambil peluang untuk menceburi bidang STEM bagi mempersiapkan diri menghadapi keperluan industri masa hadapan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Yakub yang juga Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) turut memberitahu bahawa program tersebut merupakan inisiatif TEGAS bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk membawa maklumat pendidikan, peluang latihan serta laluan kerjaya terus kepada para pelajar di seluruh Sarawak.
Tambahnya, pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan institusi pendidikan, agensi kerajaan serta organisasi yang menawarkan bantuan pendidikan dan latihan.
“Saya percaya usaha berterusan seperti ini mampu melahirkan lebih ramai anak Sarawak yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa akan datang,” tambahnya lagi.



