DARO: Projek pembangunan Daro New Town Extension Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada November 2026 sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sosioekonomi di daerah ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek tersebut bertujuan mewujudkan sebuah pusat aktiviti ekonomi baharu yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, memperkasa sektor keusahawanan serta menarik pelabur ke Daro.

“Kejayaan pelaksanaan projek ini juga akan melengkapkan pembangunan fasa satu yang siap dan kini beroperasi sepenuhnya.
“Fasa kedua ini merangkumi pembinaan 20 unit rumah kedai dua tingkat, 10 unit kedai mini dua tingkat, 10 unit kotej industri, kemudahan tandas awam, pencawang elektrik, ruang terbuka serta kawasan tempat letak kereta.
“Pembangunan ini dirancang secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan penduduk dan usahawan tempatan selain menyediakan persekitaran yang lebih kondusif untuk aktiviti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projek tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, sambutan yang diterima ke atas pembangunan tersebut amat memberangsangkan apabila kesemua unit rumah kedai dan kedai mini yang ditawarkan telah ditempah.

Ujarnya, ini membuktikan potensi besar Daro untuk terus berkembang sebagai sebuah pusat pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan pesisir tengah Sarawak.
Sehubungan itu, Awang Tengah turut memberitahu, pembinaan rangkaian jalan raya dan jambatan bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membuka ruang kepada pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh.
“Apabila jaringan jalan raya dan jambatan semakin lengkap, ia membolehkan potensi pembangunan di pekan-pekan kecil seperti Daro diterokai dengan lebih berkesan.
“Saya yakin Daro akan terus berkembang dan menjadi antara kawasan yang mempunyai potensi besar untuk pembangunan masa depan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta semua agensi terlibat yang memberikan kerjasama bagi memastikan projek tersebut berjalan mengikut perancangan.
Tambahnya, komitmen semua pihak amat penting dalam memastikan pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan demi manfaat rakyat dan kemajuan Daro secara keseluruhannya.


