KUCHING: Projek baik pulih Koridor Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang akan dilaksanakan menerusi dua fasa dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM59 juta.
ADUN Kedup Datuk Martin Ben berkata, fasa pertama melibatkan pembinaan struktur perlindungan tebingan sungai sepanjang sekitar 425 meter menggunakan benteng batu.
“Fasa kedua akan bertumpu kepada pembinaan struktur perlindungan tebingan sungai sepanjang 535m menggunakan benteng batu.
“Anggaran kos projek bagi fasa pertama berjumlah RM21 juta, manakala fasa kedua berjumlah RM38 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kabong Datuk Mohamad Chee Kadir – perancangan Jabatan Pengairan dan Saliran berkaitan ban pecah di Tebingan Sungai Seblak ketika Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Mengulas perancangan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, beliau memaklumkan bahawa tawaran tender menerusi projek baik pulih akan dibuka bagi fasa pertama pada suku ketiga 2026.
“Bagi fasa seterusnya, DID akan mengemukakan permohonan projek baharu di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.
DID juga dilantik sebagai agensi pelaksana bagi Projek Naik Taraf dan Penambahbaikan Ban Tanah di Skim Kabong Nyabor, Bahagian Betong di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Projek ini dijangka ditender pada suku kedua 2026, tertakluk kepada kelulusan tapak.

