ARTIKEL

Abang Johari menekan hon melepaskan salah satu acara Regatta Pesta Simunjan | (UKAS)

Projek benteng baharu Simunjan guna pendekatan teknologi moden

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak akan membina semula benteng baharu di tebing Sungai Simunjan menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi menahan hakisan dan pada masa sama mencantikkan kawasan pekan ini.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu dibiayai sepenuhnya melalui dana negeri selepas struktur benteng lama gagal menahan tekanan arus sungai.

“Dulu kita pernah bina benteng tetapi tidak dapat melawan arus sungai. Kajian mendapati kelemahannya ialah cerucuk tidak ditanam cukup dalam.

“Sebab itu kita akan bina benteng baharu dengan dana Sarawak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penangguhan Pesta Simunjan di tapak Regatta Pesta Simunjan, hari ini.

Menurutnya, binaan baharu itu akan menggunakan pendekatan teknologi moden bagi memastikan struktur benteng lebih kukuh dan tahan lama.

Abang Johari ketika ditemui wartawan turut menjelaskan bahawa projek asal pembinaan benteng dan tebingan Sungai Simunjan telah dimulakan pada tahun 2021, namun gagal disiapkan sepenuhnya disebabkan kekangan peruntukan.

“Usaha kali ini bukan sekadar membaiki benteng lama, sebaliknya membina semula struktur baharu menggunakan reka bentuk serta teknologi yang lebih moden dan mampan.

“Kalau dulu hanya RM40 juta diperuntukkan, kos sebenar melebihi RM100 juta. Jadi kali ini kita tanggung sepenuhnya menggunakan dana negeri agar projek ini benar-benar memberi kesan kepada masyarakat Simunjan,” jelasnya.

Tambahnya, pembinaan benteng baharu ini bukan sahaja akan mengatasi masalah hakisan yang menjejaskan keselamatan penduduk, malah turut berperanan sebagai pemangkin pembangunan bandar kecil itu.

“Benteng ini ada dua fungsi — pertama untuk menahan hakisan, dan kedua untuk memperindah kawasan tebing sungai supaya dapat dijadikan tarikan baharu kepada masyarakat setempat.

“Dengan adanya ruang di sepanjang benteng, kerajaan negeri turut merancang membangunkan infrastruktur tambahan bagi mewujudkan suasana tebingan sungai yang menarik,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU