BINTULU: Kebimbangan penduduk Rumah Seliong Ugat di Batu 35, Jalan Bintulu–Miri terhadap risiko tanah runtuh kini berakhir apabila projek pembinaan baharu benteng penahan tanah runtuh di kawasan itu siap sepenuhnya baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi yang menyifatkan projek berkenaan sebagai langkah mitigasi strategik bagi menjamin keselamatan jangka panjang komuniti rumah panjang tersebut.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan Dana Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur perlindungan, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan risiko bencana alam.
“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Pembinaan benteng ini bukan sahaja melindungi kediaman dan kemudahan sedia ada, malah memberi ketenangan fikiran kepada penduduk terutama ketika musim hujan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, usaha mitigasi seperti ini perlu dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu agar pembangunan yang dirancang dapat dinikmati dalam suasana yang selamat serta kondusif.
Pada majlis sama, turut diadakan Program Sejahtera Sejati MADANI yang dikendalikan oleh pegawai dari Pejabat Daerah Bintulu sebagai platform mendekati rakyat serta menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif pembangunan kerajaan.
Dalam ucapannya, Majang turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta seluruh penduduk dalam memastikan setiap projek yang dilaksanakan mencapai matlamat dan memberi impak maksimum kepada komuniti.
Beliau juga menggesa agar hubungan strategik bersama agensi kerajaan terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap dan berkesan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, khususnya agensi pelaksana dan kontraktor projek atas komitmen serta dedikasi sehingga projek tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Dengan siapnya benteng berkenaan, penduduk Rumah Seliong Ugat kini dapat meneruskan kehidupan harian dengan lebih yakin dan selamat sejajar aspirasi pembangunan mampan yang diperjuangkan kerajaan.



