SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menyambut baik pemantauan oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Jabatan Premier Sarawak, ke kawasannya baru-baru ini.
Menurutnya, selain memantau perkembangan projek pembangunan, peluang ini digunakan untuk meneliti sebarang permasalahan bagi meningkatkan perkhidmatan.
“Kita faham SIMU sebagai mata dan telinga Kerajaan Sarawak dalam memastikan projek yang diluluskan benar-benar siap, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
“Dalam hal berkaitan, kita berbincang mengenai apa-apa isu yang berlaku bagi meningkatkan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Jelasnya, rombongan yang diketuai oleh Sofhi Jebal turut mengadakan lawatan ke Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS).
Mengenai pelaksanaan projek di DUN Kalaka, Mohamad menyatakan sentiasa diberikan perhatian serius.
“Bermula daripada projek kecil sehingga yang bernilai besar, kita memantaunya rapi.
“Sekarang banyak projek berjalan, kita akan pastikan ada pasukan dan jadual untuk membuat pemantauan.
“Ini memandangkan setiap peruntukan yang disalurkan kerajaan, patut dipastikan tidak membazir dan tidak menjadi sia-sia,” ujarnya.
Beliau mengharapkan barisan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di peringkat akar umbi turut dapat bersama-sama membantu menyalurkan maklumat.
Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, dan Setiausaha Parti PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, turut hadir sama.



