ARTIKEL

RASMI: Uggah memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis pecah tanah Projek Cadangan Menaik Taraf Jalan Sedia Ada dari Simpang Lapok ke Long Puoh hari ini.

Projek jalan Long Aya-Long Sobeng RM133.4 juta bakal lonjak sosioekonomi penduduk

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Akses jalan raya yang lebih baik di kawasan luar bandar dijangka memangkin pembangunan sosioekonomi penduduk susulan pelaksanaan projek menaik taraf jalan Long Aya-Long Sobeng bernilai RM133.4 juta.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek sepanjang kira-kira 35 kilometer itu bukan sahaja memperkukuh jaringan perhubungan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat di kawasan terlibat.

“Projek tersebut akan dinaik taraf mengikut piawaian Jalan Raya JKR R1 yang melibatkan laluan dari Long Aya ke Long Sobeng, Tinjar.

“Pelaksanaan projek ini bukan sekadar memperbaiki kemudahan asas, tetapi turut berupaya meningkatkan taraf ekonomi penduduk melalui sistem pengangkutan yang lebih efisien.

Uggah ketika menyampaikan ucapan pada majlis pecah tanah Projek Cadangan Menaik Taraf Jalan Sedia Ada dari Simpang Lapok ke Long Puoh di Miri hari ini.

“Apabila akses jalan bertambah baik, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk untuk memasarkan hasil pertanian dan barangan tempatan ke kawasan berhampiran seperti Long Lapok dan Long Lama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pecah tanah Projek Cadangan Menaik Taraf Jalan Sedia Ada dari Simpang Lapok ke Long Puoh di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, projek tersebut turut merangkumi pembinaan empat jambatan komposit keluli iaitu Jambatan Sungai Aya sepanjang 40 meter, Sungai Sepidik (54 meter), serta dua jambatan di Sungai Sobeng masing-masing sepanjang 30 meter.

“Projek ini akan memberikan manfaat secara langsung kepada kira-kira 2,714 penduduk di beberapa buah rumah panjang sepanjang laluan berkenaan termasuk Long Aya, Long Sobeng, Long Dunin, Long Pejawai, Long Aton, Long Nuah dan Long Puah.

“Selain meningkatkan akses, ia juga memudahkan penduduk di kawasan Telang Usan mendapatkan perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan,” jelas beliau.

Tambahnya, projek ini merupakan antara inisiatif Agensi Pembangunan Tanah Tinggi di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyie Ngau; Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dato Dennis Ngau; Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU