KUCHING: Projek jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (MMMLL) kini dalam pembinaan melibatkan laluan dari Miri ke Marudi sehingga ke Mulu dengan simpang dari Long Panai ke Long Lama.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menerima kunjungan hormat delegasi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bario di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1 di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menurut Gerawat, projek tersebut disifatkan sebagai pemangkin besar kepada pembangunan kawasan Baram kerana bakal meningkatkan hubungan darat ke kawasan pedalaman yang selama ini banyak bergantung kepada jalan balak.
“Ini merupakan perubahan besar kepada kawasan Baram, namun masih terdapat keperluan untuk menaik taraf jalan di sebelah satu lagi kawasan Baram iaitu dari Pekan Lapo hingga ke Bario.
“Sepanjang laluan itu, ia menghubungkan lebih 100 rumah panjang,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat tersebut.
Tambah beliau, Premier turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk mengambil alih semua jalan balak di negeri ini yang melibatkan lebih 7,000 kilometer.
“Kira-kira 2,700 kilometer jalan balak berada di Bahagian Baram.
“Apabila jalan balak ini diambil alih dan digazetkan sebagai jalan negeri, maka ia akan melayakkan jalan tersebut menerima dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf secara berfasa,” katanya.
Dalam kunjungan itu, delegasi KMKK turut merakamkan penghargaan kepada Premier dan kerajaan GPS atas pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di Bario.
Tambah Gerawat, delegasi turut mengemukakan permohonan kepada Premier untuk mempertimbangkan usaha memperkasa semula industri beras Bario yang terkenal sebagai beras istimewa dan mendapat permintaan tinggi.
“Bagaimanapun pengeluaran beras Bario masih terhad kerana kebanyakan petani masih menggunakan kaedah tradisional dan manual.
“Komuniti setempat berharap kerajaan dapat membantu memodenkan industri itu bagi meningkatkan hasil pengeluaran,” ujarnya.
Katanya, Premier turut berkongsi beberapa program penanaman padi yang dilaksanakan di kawasan lain di Sarawak yang berjaya meningkatkan hasil pengeluaran berbanding sebelum ini.

