BINTANGOR: Kerajaan melaksanakan beberapa projek baharu di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi menambah baik kemudahan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada kerja menaik taraf jalan serta pembaikan jambatan bagi memastikan perhubungan lebih lancar dan selamat untuk kegunaan harian penduduk.
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, antara lokasi terlibat ialah Jalan Dispensary dan Jalan Pedada Bintangor.
Menurutnya, beberapa kawasan lain turut dikenal pasti memerlukan tindakan segera termasuk Simpang Jalan Rumah Siang yang berdepan isu hakisan tanah.
“Masalah tersebut boleh menjejaskan struktur jalan dan membahayakan pengguna sekiranya tidak ditangani dengan segera.
“Kerosakan turut dikesan di Jalan Kilang Ayam di Sungai Meradong serta Jalan Ulu Siew Bakong dan Jalan Sing Kwong di Sungai Bakong,” katanya ketika meninjau projek itu, semalam.
Turut tersenarai ialah Jalan Masuk Batu 2.5 Jalan KJD, Jalan Ming Ching di Temudak serta simpang masuk Jalan Hoe Ping, Jalan Kelupu dan Jalan Hua Kiew.
Dalam lawatan ke tapak projek semalam, beliau turut mengadakan perbincangan bersama-sama pihak teknikal bagi menilai tahap kerosakan dan menentukan keutamaan pelaksanaan.
Jelasnya, pendekatan itu membolehkan perancangan lebih tepat dan penyelesaian yang dilaksanakan memberi kesan menyeluruh kepada komuniti.
Beliau menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya kekal menjadi keutamaan, terutama di kawasan berisiko tinggi seperti lokasi yang terjejas akibat hakisan tanah.

