KUCHING: Fasa pertama Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), meliputi stesen Kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dan laluan Blue Line Pakej 1 dari Rembus ke Riveria, dijangka beroperasi pada suku keempat 2026.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak melalui Pembiayaan Alternatif memperuntukkan RM1 bilion perbelanjaan modal bagi tahun depan untuk meneruskan pembinaan infrastruktur dan sistem ART.
“Kerja-kerja pembinaan Blue Line Pakej 2 dari Stutong ke Hikmah Exchange serta Red Line sedang berjalan manakala Green Line dijangka bermula pada suku kedua 2026,” katanya.
Tambah Abang Johari, sejumlah RM90 juta turut diperuntukkan kepada Sarawak Metro bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan.
Sementara itu katanya, usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam konvensional juga diteruskan dengan peruntukan RM16.8 juta.
“Antara inisiatif termasuk pelaksanaan bas pintar di Miri, pengenalan perkhidmatan bas henti-henti baharu di Sibu, subsidi operasi berterusan untuk perkhidmatan sedia ada serta pembinaan terminal bas baharu di Kapit.
“Ini bagi meningkatkan akses, kebolehpercayaan dan mobiliti awam di kawasan bandar dan separa bandar,” jelasnya pada Belanjawan Negeri Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Di samping itu, Abang Johari berkata dalam usaha mengecilkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, Belanjawan 2026 kekal berpaksikan pembangunan luar bandar.
Katanya, daripada RM9.3 bilion yang dicadangkan untuk Perbelanjaan Pembangunan, RM6.1 bilion atau 66 peratus diperuntukkan kepada inisiatif luar bandar, menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada komuniti tercicir.
“Peruntukan tersebut merangkumi RM350 juta bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), RM315 juta kepada Agensi Pembangunan Wilayah, RM267 juta untuk Program Projek Khas dan RM100 juta bagi pelaksanaan Projek Rakyat.
“Kerajaan turut menekankan penyediaan jaringan jalan raya yang lebih baik dalam meningkatkan akses kepada kesihatan, pendidikan dan pasaran serta menyokong sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Abang Johari berkata pada 2026, sejumlah RM1.05 bilion diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh negeri.
“Antara projek yang terlibat adalah menaik taraf Jalan Musi–Buso, Bau; Jalan Teku; Jalan Teku Pasai Siong; Jalan Kemuyang, Sibu; Lebuh Raya Berkembar Serian ke Gedong terus ke Samarahan; serta Jalan Bawang Assan-Tanjung Manis-Sungai Illas-Kampung Sebena di Meradong, Sarikei.
“Seterusnya menaik taraf jalan menuju Rumah Panjang Nicholas anak Sandom, Sungai Sigu Pandan, Sebauh, Bintulu; jalan di Kampung Medong Seberang dan Kampung Kekan Seberang, Mukah; Jambatan Sungai Limbang; Jambatan Sungai Bunut No. 2 serta jalan penghubung di Limbang; Program Transformasi Jambatan Luar Bandar; dan Jalan Sungai Passin/Matu, Mukah,” ujarnya.
Di bawah Pembiayaan Alternatif, katanya sejumlah RM3.22 bilion turut disediakan tahun hadapan bagi membiayai projek infrastruktur jalan raya utama yang sedang berjalan termasuk Jalan Pesisir Sarawak, Jalan Tulang Belakang Kedua, Lebuhraya Pesisir Utara, Jalan Sultan Tengah serta Jambatan Santubong baharu, selain pelbagai projek di bawah RECODA.
Dalam perkembangan yang sama, katanya kerajaan juga akan memperkukuh rangkaian penerbangan Sarawak bagi menyokong pergerakan penumpang dan kargo serta membuka laluan baharu untuk pelancongan, perdagangan dan kerjasama serantau.
“Antara peruntukan meliputi RM51 juta untuk Lapangan Terbang Bebuling, RM6 juta bagi pengesahan tapak, kajian kelayakan dan pelan induk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu serta RM1 juta untuk kajian ketersalinghubungan udara antarabangsa ke Sarawak,” ujarnya.
Selain itu, kata Abang Johari, sektor pelabuhan turut diberikan keutamaan bagi menyokong perdagangan, logistik dan integrasi serantau.
“Sebanyak RM118.1 juta diperuntukkan bagi inisiatif meliputi sistem penjejakan vessel dan alat bantu navigasi untuk Sungai Miri dan Kuala Baram, pemindahan Rumah Api Tanjung Kidurong ke Tanjung Likau di Bintulu, pembangunan kawasan penyimpanan kenderaan di Pelabuhan Senari, geran pembangunan dan penyelenggaraan laluan pelabuhan, Kajian Pelan Induk Pelabuhan serta pembinaan dermaga, jeti, tembok sungai dan kawasan tepi air,” jelasnya.



