KUCHING: Projek mitigasi banjir Stampin bernilai RM350 juta kini memasuki fasa pelaksanaan, sekali gus membuka laluan kepada usaha menangani masalah banjir yang sekian lama menjejaskan penduduk Skim Penempatan Semula Stampin.
Ia melibatkan projek fasa satu bernilai RM87.96 juta untuk peningkatan kapasiti sistem saliran, termasuk menaik taraf longkang di sepanjang Jalan Stampin Baru, membersih serta menaik taraf pembetung, melebarkan dan mendalamkan saluran saliran sedia ada menuju ke Sungai Stampin, Sungai Stutong dan Sungai Kuap.
ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, ia bakal
memberi manfaat kepada kira-kira 1,053 isi rumah atau 9,026 penduduk di kawasan Skim Penempatan Semula Stampin.
“Penduduk Skim Penempatan Semula Stampin telah lama menunggu penyelesaian menyeluruh masalah banjir dan saya gembira kerana projek kini bergerak ke hadapan dengan pelantikan rasmi kontraktor.
“Projek ini bukan sekadar menaik taraf sistem saliran dan infrastruktur berkaitan, sebaliknya bertujuan melindungi rumah, kehidupan serta kesejahteraan penduduk yang berdepan masalah banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (LoA) kepada kontraktor, di sini, semalam.
Menurutnya, pelan mitigasi menyeluruh itu merangkumi pembinaan saliran konkrit bertetulang dan pembetung, saluran saliran, kolam takungan serta langkah mitigasi lain bagi meningkatkan pengurusan air hujan dan mengurangkan risiko banjir.
Dalam pada itu, beliau menggesa kontraktor untuk melaksanakan kerja mengikut standard kualiti, keselamatan dan mutu kerja yang tinggi, selain memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
Majlis mesyuarat permulaan projek dan penyerahan LoA itu disaksikan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, manakala LoA diserahkan Pengarah Jabatan Pengairan Sarawak, Datuk Ahmad Denney Ahmad Fauzi kepada TMK Construction & Transport Sdn Bhd.



